“Sungguh-sungguh dia minta” – Elizabeth Tan menangis, seorang lelaki berdoa untuknya di masjid

“Sungguh-sungguh dia minta” – Elizabeth Tan menangis, seorang lelaki berdoa untuknya di masjid
Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 32, terharu dan sebak dengan niat murni seorang lelaki mendoakan dia menimang cahaya mata serta sentiasa sihat sejahtera selepas menunaikan solat di masjid.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy memang sangat bersyukur apabila ramai menyayanginya sehingga namanya dibawa dalam doa.
“Menangis saya baca, terima kasih kerana beritahu saya. Saya sangat menghargainya. Ya, saya sangat bertuah dan rasa disayangi,” katanya.
Menerusi hantaran seorang pengguna Threads, dia terdengar seorang lelaki dengan penuh keikhlasan mendoakan Elizabeth selepas mendirikan solat di sebuah masjid.
“Semalam berbuka puasa kat masjid Putrajaya. Selepas solat ada seorang lelaki sebelah saya ini doa untuk Elizabeth Tan, kurniakanlah Elizabeth Tan anak. Berikanlah kebahagiaan kepada dia.
“Panjang doa tu, saya dengar pun sebak sebab doa dia ikhlas sangat walaupun mereka berlainan agama. Sungguh-sungguh dia minta.
“Dia doa perlahan saja tapi kami duduk rapat jadi saya dengar apa yang dia doa. Awak sangat bertuah Elizabeth sebab ada orang doakan awak,” demikian hantaran itu.
Di ruangan komen, rata-rata warganet menyifatkan Elizabeth sebagai seorang yang bertuah kerana doa itu dibaca pada salah satu hari yang dimakbulkan doa iaitu pada Hari Arafah.
Dalam masa yang sama, mereka juga mendoakan agar pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu dikurniakan zuriat suatu hari nanti.
Elizabeth dan suami, Siew Jim mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021 namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-33 itu juga pernah mengalami dua kali keguguran.