Trend TikTok ‘Pasar Ikhwan di Putrajaya’ viral sampai ke Afrika
Jenaka parodi ‘Pasar Ikhwan Di Putrajaya’ mengenai Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) terus merebak di media sosial terutamanya selepas skandal besar yang melibatkan kumpulan tersebut, lapor Malay Mail.
Syarikat yang kini disiasat atas pelbagai dakwaan jenayah dan aktiviti agama yang menyimpang ini menjadi sasaran meme dan parodi di media sosial.
Di antara puluhan ribu meme yang mencuit hati, satu video TikTok menampilkan sekumpulan penari lelaki Afrika tanpa baju ‘mempromosikan’ Pasar Ikhwan Putrajaya, sambil menari diiringi parodi lagu tema pasar raya mendapat perhatian umum terutamanya di Malaysia.
Untuk pengetahuan, video tersebut adalah tempahan perkhidmatan di laman Rexgowishes, di mana pengguna boleh menempah video ucapan khas dengan pelbagai persembahan dari Afrika.
Dalam video parodi Pasar Ikhwan ini, kategori yang dipilih adalah ‘Africa White Tiger (Best)’ dengan harga diskaun RM95, daripada harga asal RM148.
Video tersebut yang dimuat naik di akaun TikTok tular dengan lebih 92,000 tanda suka dan dikongsi lebih 77,000 kali.
Ia juga menerima lebih 2,600 komen, namun siapa di sebalik tempahan video tersebut kekal misteri.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, turut memberi reaksi terhadap video-video viral berkaitan GISBH.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang memantau secara aktif kandungan media sosial yang melibatkan GISBH, termasuk kandungan parodi.
Antara tindakan yang mungkin diambil adalah memadam kandungan berkenaan dari platform media sosial.
Skandal GISBH mula terbongkar awal bulan ini apabila Bukit Aman mengumumkan serbuan besar-besaran terhadap 20 rumah kebajikan yang berkaitan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam operasi itu, lebih 400 kanak-kanak berjaya diselamatkan, manakala hampir 200 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa beberapa individu yang terlibat dengan syarikat tersebut disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah, termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, dan intimidasi jenayah.
Sejak itu, pihak polis telah melakukan lebih banyak serbuan dan penangkapan di seluruh negara.
Malah, negeri Perlis telah mengeluarkan fatwa mengisytiharkan kumpulan perniagaan tersebut sebagai ajaran sesat.
GISBH juga dikaitkan dengan kumpulan Al Arqam, sebuah kumpulan yang diharamkan lebih 30 tahun lalu.