Tragedi kren runtuh di kilang, 2 maut & 1 cedera

Tragedi kren runtuh di kilang, 2 maut & 1 cedera

 

Dua lelaki tempatan maut dan seorang lagi cedera dalam insiden kren gantri runtuh di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang terkorban ialah Abdul Rajim Hasmki, 33, dan Maiyden Asibin, 29, manakala Mosed Alinid, 34, mengalami kecederaan.

Pihaknya menerima maklumat pada jam 4.58 petang berhubung kejadian membabitkan kren industri berat itu.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika pelaksanaan kerja-kerja pemotongan kren untuk dilupuskan. Runtuhan kren itu menyebabkan tiga mangsa berkenaan tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Susulan itu, katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas serta bantuan kren bagi memudahkan operasi.

Katanya, mayat dua lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat yang membabitkan 13 anggota bomba dan tujuh anggota polis itu ditamatkan pada jam 10.55 malam,” katanya, lapor Bernama.