Tradisi aneh, ibu saudara perlu tiduri bakal pengantin lelaki untuk uji kejantanan

Tradisi aneh, ibu saudara perlu tiduri bakal pengantin lelaki untuk uji kejantanan

Setiap negara atau kaum mempunyai adat-adat tradisi tertentu dalam majlis perkahwinan yang sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Lazimnya, apabila seorang anak bakal memasuki alam perkahwinan, ibu bapalah antara individu yang berperanan penting membantu setiap proses perjalanan anaknya bagi persiapan perkahwinan.

Namun, berbeza dengan tradisi bagi masyarakat di Uganda, Afrika, ibu saudara memiliki pengaruh yang besar terhadap anak saudaranya terutamanya wanita.

Ibu saudara tiduri pengantin lelaki

Menjadi resam budaya di negara itu, ibu saudara bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan kaunseling buat anak saudaranya dari mereka kecil sehingga dewasa.

Begitu juga ketika berkahwin, mereka ini juga yang akan menyiapkan anak saudaranya untuk menghadapi cabaran yang mendatang setelah berkahwin.

Tetapi keadaan agak berbeza bagi suku kaum Banyankole di bawah kerajaan tradisional Ankole yang terletak di bahagian barat daya Uganda. Mereka mempunyai lebih banyak peranan termasuk sewaktu anak saudaranya ingin melangsungkan perkahwinan.

Menerusi portal berita The Maravi Post, tanggungjawab utama ibu saudara adalah untuk mengesahkan bahawa lelaki yang hendak dikahwini anak saudaranya itu mestilah kuat dari segi batin.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab untuk mempertahankan keperawanan pengantin perempuan sebelum perkahwinan itu selesai.

Sebagai ujian untuk pengantin lelaki, ibu saudara pengantin perempuan kadang-kadang akan diminta untuk menidurinya terlebih dahulu untuk pengesahan mengenai potensi dan kejantanannya.

Begitu juga terhadap pengantin perempuan turut diuji ibu saudara sama ada pengantin masih lagi dara sebelum mereka diizinkan untuk melangsungkan perkahwinan.

Pengantin hanya dibolehkan untuk menyelesaikan pernikahan jika pengantin lelaki lulus ujian tersebut.

Orang Banyankole terdiri daripada dua etnik utama iaitu Bahima dan Bairu. Bagi etnik Bahima, memiliki keperawanan adalah penting bagi seseorang wanita yang belum berkahwin.

Setelah berumah tangga pula, wanita yang tidak mempunyai anak dianggap tidak mempunyai status dalam masyarakat.

Sebaik sahaja seorang gadis berusia lapan tahun, dia sudah melalui banyak batasan bagi mempersiapkannya untuk berkahwin. Ketika kanak-kanak lain seusia mereka masih bersenang lenang dan bermain, tetapi tidak bagi anak gadis Banyankole.

Kebanyakan mereka akan disimpan di dalam rumah dan diberi makan daging lembu dan bubur serta dipaksa minum susu dalam jumlah yang besar sehingga menjadi gemuk.

Ibu Saudara Tiduri Pengantin Lelaki Banyankole

Jadi gemuk identiti kecantikan kaum Banyankole

Menjadi gemuk adalah identiti kecantikan dalam kalangan orang Banyankole. Ketika anak gadis mula membesar, mereka juga diminta oleh ibu bapanya untuk tidak melakukan aktiviti seksual.

Dalam pada itu, menjadi tugas seorang ayah bagi pengantin lelaki untuk mencari isteri bagi anaknya.

Keluarga kaum lelaki juga perlu menyediakan hantaran dan membayar sejumlah wang kepada pengantin perempuan.

Hantaran perkahwinan terdiri daripada beberapa ekor lembu, kambing dan minuman keras dan wang dibayar bergantung kepada kekayaan keluarga pengantin lelaki.

Setelah harga untuk pengantin dibayar, persiapan perkahwinan akan dimulakan. Pada hari perkahwinan, kenduri yang besar akan diadakan di rumah pengantin perempuan dan ayahnya menyembelih lembu yang sudah diberikan.

Sama seperti perkahwinan tradisional Afrika yang lain, pihak ketiga yang disebut sebagai Kateraruume menjadi orang terpenting untuk sesuatu urusan perkahwinan.

Kateraruume adalah orang yang sangat dihormati dan mewakili keluarga pengantin lelaki yang ditugaskan untuk menghadap keluarga sebelah perempuan.

Dia juga perlu memastikan bahawa keluarga pengantin perempuan bersedia menerima keluarga pengantin lelaki secara rasmi bagi membincangkan soal perkahwinan. – Odisi