Tomboi dijel lapan bulan mengaku salah curi tabung 2 surau

Tomboi dijel lapan bulan mengaku salah curi tabung 2 surau

 

Seorang wanita berperwatakan lelaki dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melarikan wang tabung milik dua buah surau di daerah ini bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Hidayah Abdullah, 25, selepas tertuduh mengaku salah atas kesalahan tersebut.

Menurut Kosmo, tertuduh didapati memecah masuk Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan di sini untuk mencuri wang RM700 pada pukul 9 malam pada 23 April lalu.

Sabit kesalahan tertuduh hendaklah dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati mencuri wang tabung Surau Selekoh Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu pda pukul 2 petang, 24 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda di bawah Seksyen 380 kanun sama.

Tertuduh merayu hukuman penjara yang singkat diberikan bermula dari tarikh tangkapan 24 April lalu, selain mempunyai anak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal selepas mengambil kira tertuduh mempunyai rekod kes curi dan pernah dipenjara selama enam bulan tahun lalu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkapan bagi kedua-dua pertuduhan.