Tok siak diikat, empat tabung masjid dilarikan lelaki bertopeng

Tok siak diikat, empat tabung masjid dilarikan lelaki bertopeng

 

Siak Masjid An-nur di sini berdepan detik cemas apabila diikat kaki dan tangan oleh dua lelaki bertopeng yang memecah masuk ke dalam masjid itu pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, suspek yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan bersenjatakan besi itu turut melarikan empat tabung masjid dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 65 tahun itu baru tiba di masjid dan mahu mencari penyapu di bahagian tempat berwuduk sebelum ternampak sosok seseorang di sebalik tiang.

“Mangsa yang  ke arah tiang kemudian terkejut dengan kehadiran dua lelaki memakai penutup muka berwarna gelap dan memegang sebatang besi. Seorang daripada suspek memaut leher warga emas itu dengan kuat dari arah belakang dan mengugut untuk menikamnya sebelum mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan kain,” katanya seperti dilaporkan Utusan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kemudian mengambil empat tabung di ruang solat bahagian hadapan yang mengandungi wang dianggarkan RM650 selepas memaksa mangsa menyerahkan kunci tabung tersebut sebelum mereka melarikan diri.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati masjid berkenaan dilengkapi 16 rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun hanya 10 CCTV berfungsi iaitu enam di bahagian dalam masjid dan empat di ruang luar masjid.

“Menurut pengadu, pintu pagar bahagian belakang tidak berkunci dan dia tidak cam muka suspek kerana mereka memakai penutup muka berwarna gelap. Kedua-dua suspek melarikan diri disyaki mengikut bahagian belakang masjid. Siasata lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.