Tinggalkan bayi 16 bulan sendirian di rumah hingga ‘tewas’ demi bercuti, wanita dipenjara seumur hidup

Tinggalkan bayi 16 bulan sendirian di rumah hingga ‘tewas’ demi bercuti, wanita dipenjara seumur hidup

 

Tidak berhati perut, mungkin itulah kata-kata paling sesuai untuk menggambarkan tindakan seorang wanita berusia 32 tahun bernama Kristel Candelario ini.

Pada bulan Jun tahun lalu, dia telah meninggalkan anaknya, Baby Jailyn, 16 bulan, sendirian di rumah untuk pergi bercuti bersama seorang kenalan lelaki.

Paling mengejutkan, Jailyn ditinggalkan dalam kandang main (playpen) seorang diri di kediaman mereka dengan beberapa kelengkapan termasuklah susu yang sudah siap dibancuh.

Entah apa yang bermain di benak fikiran seorang ibu, Kristel sepertinya beranggapan anak sekecil itu boleh menguruskan diri sendiri.

Setelah 10 hari sakan bercuti, dia akhirnya pulang ke rumah pada 16 Jun 2023 dan menemukan Jailyn dalam keadaan menyayat hati.

Anak kecil itu dijumpai terbaring atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri, dikelilingi sisa air kencing dan juga najis. Matanya sudah cengkung, bibir dan badan menjadi ‘kering’, kuku serta mulut mengandungi kotoran najis.

Sebelum bantuan tiba, Kristel sempat membersihkan dan memakaikan Jailyn dengan baju bersih. Namun taktik licik terbabit berjaya dihidu sekaligus membongkar ‘kerja gila’ yang sudah dilakukan olehnya 10 hari sebelum.

“Saya lihat gambar anda berada di pantai, sementara Jailyn sendirian di rumah terpaksa makan najis sendiri untuk teruskan hidup”

Sepanjang ditinggalkan, Jailyn dipercayai mengalami penderitaan separation anxiety (ketakutan berpisah dengan ibu) yang cukup serius sebelum masuk ke fasa kelaparan dan kehausan melampau.

Setelah dibicarakan, Kristel berkata dia berdoa setiap hari meminta pengampunan Tuhan selain yakin Jailyn sudah memaafkannya.

Walau bagaimanapun setelah menimbal segala aspek, mahkamah pada Isnin lalu menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap kelalaiannya yang menyebabkan pemergian bayi tidak berdosa itu.

“Keperitan & penderitaan yang dirasakan Baby Jailyn ketika itu bukan sekadar 1 jam atau 1 hari, tetapi lebih kurang seminggu. Seperti mana kamu tinggalkan dia sehingga hidupnya berakhir, seperti itulah kamu akan meringkuk di penjara tanpa kebebasan. Bezanya, sekurang-kurangnya penjara beri kamu makan”