Tindakan Zulaiha, Jamelah ditegur Khalid Samad
AMANAH mengingatkan agar seluruh ahlinya menggunakan saluran parti untuk menyampaikan sebarang ketidakpuasan yang berlaku dan bukan menyebarkannya di media sosial.
Tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Abd Samad, tidak sewajarnya ahli AMANAH mencanang cerita yang tidak pasti faktanya, sedangkan mereka bertanggungjawab menjaga nama baik parti.
Khalid berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan dan mesyuarat di peringkat Nasional yang menekankan agar masalah dalaman tidak seharusnya didedahkan seperti apa yang dilakukan.
“Bila ada kes-kes seperti ini, sebarang komen dan teguran perlu gunakan saluran parti. Tak payah lah kita war-warkan dalam Facebook, lebih-lebih lagi dalam kalangan ahli parti yang sepatutnya turut bertanggungjawab jaga imej parti.
“Kalau turut bergaduh atas Facebook dan melemparkan tuduhan itu ini, ia merosakkan imej.
“Tak perlu lah kita dedahkan semua masalah dalaman dan berhujah sehingga merosakkan imej parti, sedangkan kemungkinan masalah itu tak seteruk seperti mana yang digambarkan,” katanya dalam wawancara di laman Facebook Jom Channel, semalam.
Terdahulu, Warda Teluk Intan memuatnaik hantaran Facebook yang mendakwa Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) ditumbuk Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak, Safarizal Salleh.
Warda menjadi antara yang paling agresif menyerang AMANAH di laman sosial Facebooknya.
Selepas insiden itu, tular pula satu video menunjukkan Safarizal telah dikasari terlebih dahulu.
Menerusi video berdurasi 12 saat yang didedahkan portal Berita Perak, rakaman menunjukkan Safarizal ditumbuk seorang Wanita di hadapan pintu dewan sebelum kekecohan berlaku
Kejadian yang berlaku di pintu masuk bilik mesyuarat itu dikatakan bermula dengan provokasi daripada Naib Ketua AWAN kawasan, Zulaiha Mohd Azam dan rakan-rakannya.
Mereka dilaporkan bertindak mengganggu prosiding siasatan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap salah seorang Ahli Jawatankuasa Aduan yang sedang menjalankan tugas ketika itu.
Justeru Khalid menyeru agar ahli-ahli AMANAH bertenang dan sekiranya perlu mendapatkan sebarang penjelasan, hendaklah berhubung dengan pimpinan menggunakan saluran parti.
“Jangan tembak dekat Facebook, orang pun tak tahu hujung pangkal. Kita bercerita pun mungkin tak tahu faktanya dan mungkin ada yang tak berapa betul. Lebih baik semak dulu dengan pimpinan,” tegurnya lagi.
Sumber : Malaysia Dateline