Tindakan dikenakan terhadap peniaga asing tanpa lesen
Tindakan menyewakan premis kepada warga asing bukan satu kesalahan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin bagaimanapun menegaskan, warga asing yang menyewa premis sebagai tapak berniaga perlu memastikan mereka mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, tindakan mengikut peruntukkan undang-undang boleh diambil ke atas mereka sekiranya didapati menjalankan perniagaan tanpa sebarang lesen.
“Warga asing yang menyewa rumah kedai dan tiada sebarang lesen, tindakan undang-undang boleh diambil atas kesalahan tiada lesen dan tiada permit bekerja.
“Untuk mendapatkan lesen, biasanya warga asing ini akan membuka syarikat jenis Sdn. Bhd. di mana terdapat warga tempatan berada dalam pendaftaran tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan warga asing menjalankan perniagaan dengan memohon lesen premis menggunakan maklumat pasangan yang merupakan warga tempatan.
Katanya, syarat utama mendapatkan lesen tersebut mestilah warganegara Malaysia.
“Semakan mendapati, kebanyakan mereka membuka perniagaan dengan rakan kongsi daripada warga tempatan seperti mana dalam pendaftaran perniagaan dan perniagaan itu juga dilesenkan atas nama warga tempatan.
“Malah, terdapat warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan dan lesen perniagaan mereka atas nama pasangan. Mereka juga menggaji pekerja asing yang mempunyai permit bekerja sebagai pembantu premis,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai papan tanda perniagaan menggunakan bahasa asing, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan segera.
“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan mengeluarkan notis meroboh atau menukar penggunaan bahasa asing kepada bahasa kebangsaan,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Dato Onn Jaafar di kawasan pekan baru di sini ibarat ditawan warga asing apabila menjadi tauke kepada beberapa premis perniagaan. – Utusan