Tindakan Annuar Musa ‘rampas’ trofi Piala Malaysia dari kapten pasukan KL City bikin penyokong geram

Tindakan Annuar Musa ‘rampas’ trofi Piala Malaysia dari kapten pasukan KL City bikin penyokong geram

 

Belum reda isu mengenai tindakannya ‘mengimport’ pasukan gendang dari Kelantan, penasihat Kuala Lumpur City, Annuar Musa sekali lagi melakukan sesuatu yang mencetuskan kontroversi sehingga menimbulkan kemarahan penyokong kelab tersebut.

Ianya berlaku ketika pemain KL City sedang rancak meraikan kejayaan mereka menoktahkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas menumpaskan ‘gergasi’ bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut portal Semuanyabola, sewaktu Paulo Josue sedang memegang trofi kejohanan berprestij tersebut, Annuar secara tiba-tiba mengambil trofi dari tangan kapten pasukan berkenaan dari belakang dan kemudian menjulangnya seorang diri. Ia boleh ditonton dalam video di bawah:

 

Dari reaksi pemain import Brazil itu juga jelas kelihatan bagaimana beliau agak terkejut dan ‘kurang senang’ dengan tindakan berkenaan, lantas mahu segera mengambil kembali trofi berkenaan bagi meraikan malam bersejarah bersama rakan-rakannya yang lain.

Kita semua tahu, pentas sukan ini sering dijadikan alat untuk ‘orang politik’ ini menaikkan ‘saham’ mereka, tetapi Menteri Komunikasi dan Multimedia ini terlalu ketara ‘gelojohnya’ mahu mengambil kredit kepada kejayaan pasukan.

Bukanlah langsung tidak boleh untuk menyentuh trofi itu, tetapi seeloknya tunggulah pemain-pemain dan pegawai pasukan yang telah mengerah kudrat dan keringat mereka sepanjang musim.

Merekalah yang berjuang bermati-matian di atas padang. Selaku ‘penasihat’ yang hanya duduk di kerusi VIP sepanjang 90 minit perlawanan, hormatilah hasil titik peluh mereka. terlebih dahulu.

Keadaan ini pastinya memarakkan lagi api kemarahan penyokong Kuala Lumpur terhadap Annuar dan tentunya desakan agar beliau berundur dari jawatan tersebut semakin kuat.