Timbul dakwaan wujud gambar kahwin dengan Peja, ini respon Erra Fazira

Timbul dakwaan wujud gambar kahwin dengan Peja, ini respon Erra Fazira

 

Primadona filem Melayu, Erra Fazira, sekali lagi menafikan spekulasi dia sudah berkahwin dengan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, selepas timbul pula dakwaan wujud gambar perkahwinan mereka bersama.

Menurut Erra, dakwaan dia sudah bergelar isteri Ahmad Faizal atau Peja itu hanyalah fitnah semata-mata daripada pihak yang tidak jemu-jemu cuba menjejaskan reputasinya.

“Itu semestinya fitnah, sebab saya tahulah diri saya, jadi apabila dengar gosip macam ini, saya ketawa saja,” katanya.

Erra, 49, juga memaklumkan dia sudah tidak mahu ambil kisah apabila timbul lagi dakwaan sebegini.

Kata pelakon Tragedi Oktober itu, dia sudah jenuh memohon agar tiada lagi mana-mana pihak sengaja mereka-reka cerita mengenai dirinya.

“Sudah bertahun saya minta orang berhenti ada-adakan cerita (kahwin) tapi gosip tetap datang lagi. Jadi suka hati merekalah.

“Saya masih ibu tunggal. Alhamdulillah saya bahagia dengan cara sendiri, nak bahagia jangan letak syarat dan tak perlu harapkan manusia untuk berasa gembira kerana manusia boleh sakitkan hati kita,” ujarnya.

Erra berkata demikian selepas selesai majlis tayangan drama bersiri Rampas Cintaku 2 di sebuah kompleks beli-belah, Kuala Lumpur hari ini.

Drama sensasi berkisahkan pergolakan cinta, konflik dan muslihat itu bakal ditayangkan di platform penstriman video iQIYI mulai 19 Jan ini.

Ia turut menampilkan pelakon seperti Fasha Sandha, Keith Foo, Zamarul Hisham, Afieq Shazwan, Zarynn Min dan Ady Mohammad.

Terima sebab watak mencabar

Sebelum ini, nama Erra juga pernah dikaitkan dengan Ahmad Faizal apabila timbul dakwaan dia sudah bergelar isteri kedua ahli politik itu.

Erra mahupun bekas menteri besar Perak itu sudah menafikan dakwaan berkenaan.

Namun Kali ini, timbul khabar angin kononya seorang rakan pelakon ternampak gambar perkahwinan Erra dan Ahmad Faizal ketika berkunjung ke kediaman pelakon jelita itu tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Erra, dia sedia memaafkan sesiapa saja yang menyebarkan khabar angin tersebut.

Penyanyi itu malah memaklumkan enggan namanya dikaitkan lagi dengan ahli politik itu bagi menghormati ruang kedua-dua pihak.

“Saya harap tidak diperkatakan lagi perkara seperti ini.

“Dia seorang ahli politik, kita kena hormati dia di tempat lain (politik) dan saya di dunia saya (hiburan),” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Rampas Cintaku 2, Erra berkata dia merupakan kali pertama dia menerima tawaran menjayakan drama di iQiyi.

Kata Erra dia terbuka hati berlakon dalam drama berkenaan kerana wataknya yang mencabar apabila menggunakan kurang dialog.

“Watak itu memerlukan saya banyak tunjuk ekspresi wajah dengan jelingan mata misalnya.

“Watak ini juga misteri dan tak banyak bercakap jadi ini berikan cabaran besar untuk saya hidupkan,” katanya