TikToker Singapura pecah rekod, makan setalam nasi kandar harga RM300 sampai licin di Pulau Pinang
Seorang lelaki telah menarik perhatian ramai apabila membeli hidangan nasi kandar dengan harga RM300 di Pulau Pinang.
Kisah ini dikongsikan oleh pengendali Facebook Nasi Kandar Sulaiman (NKS) pada pagi Rabu, yang menyatakan bahawa pelanggan tersebut adalah seorang pencipta kandungan popular dari Singapura.
Lelaki yang dimaksudkan ialah Zermatt Neo, seorang influencer TikTok yang terkenal dengan video makan.
Menurut pengendali Facebook NKS, Zermatt telah memecahkan rekod dengan membeli nasi kandar berharga RM300 untuk dirinya sendiri, menjadikannya jumlah paling tinggi dalam sejarah NKS.
“RM300. Pecah rekod. All time biggest ever record. Seorang makan. Orang Singapura. Dia memang seorang influencer TikTok buat video makan banyak-banyak. Siap bawa talam lagi.
“Nama TikTok dia Zermatt Neo. Kali ini dia datang NKS makan nasi kandar sampai RM300. Rekod paling tinggi dalam sejarah NKS. Kami tak panggil dia, dia sendiri yang datang makan,” kata pengendali Facebook NKS.
Ini bukan kali pertama kedai NKS mencatat rekod pembelian nasi kandar yang tinggi. Sebelum ini, seorang lelaki pernah viral kerana membeli nasi kandar dengan harga RM218 di kedai yang sama.
Perkongsian mengenai Zermatt Neo ini turut mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Ada yang kagum dengan kemampuan Zermatt untuk makan banyak, sementara yang lain menganggapnya sebagai tanda kekayaan.
“Kita makan sepinggan dah kenyang, dia makan setalam,” komen seorang netizen.
“Zermatt ni competitive eater. Setakat setalam nasi kandar tu dia pejam mata je,” tulis seorang lagi.
“Definisi kaya yang sebenar,” tambah seorang netizen dengan nada bergurau.