Tiga sekawan berdepan hukuman gantung

Tiga sekawan berdepan hukuman gantung

Tiga sekawan berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan hutan berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan di sini, hujung bulan lalu.

Tertuduh, N. Aviiness Sarma, 22; S. Lingeshwarran, 24, dan P. Siva Raman, 33, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki terbabit bersama dua yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada K. Arun, 34, dengan menggunakan parang.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam hutan berhampiran Kuil Sri Maha Muthu Mariamman, Ladang Tanjung Rambutan di sini antara pukul 7.40 hingga 8.45 malam, 31 Disember lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd. Wahab mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi dan C. Kala Devi.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Kosmo! Online pada 1 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki yang mempunyai 12 rekod lampau ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di badan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang mahu memikat burung di kawasan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan pergelangan tangan kanan hampir putus pada pukul 11.30 pagi. – KO