Tiga premis curi elektrik diserbu
Tiga premis yang disyaki menjalankan kegiatan curi elektrik melalui sambungan haram di sekitar Seri Iskandar diserbu dalam satu operasi petang semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan curi elektrik melalui sambungan elektrik secara tidak sah dan berselindung di sebalik kegiatan perlombongan mata wang krypto Bitcoin.
“Operasi serbuan selama empat jam itu berjaya menahan tujuh orang penjaga premis berusia lingkungan 20an yang disyaki bertanggungjawab dalam pengoperasian kegiatan itu.
“Serbuan juga berjaya merampas beberapa barangan antaranya rampasan sebuah kereta Perodua Alza, 154 unit mesin server Bitcoin bersama sumber kuasa, 23 unit papan pemuka Bitcoin dan sejumlah gulung wayar elektrik jenis tembaga.
“Polis turut merampas lapan unit modem TP-Link dua set lengkap komputer, tiga telefon bimbit, lima kotak Suis Pengagihan Kuasa Elektrik Utama (DB) dan baldi aluminium berisi pelbagai jenis kunci,” katanya di sini hari ini.
Barudin berkata, siasatan awal bersama TNB yang hadir bersama ketika serbuan mendapati ketiga-tiga premis diserbu menunjukkan kuantiti penggunaan elektrik yang terlalu tinggi dan menjurus kepada kegiatan mencurigakan yang tidak sepadan dengan kadar penggunaan suatu premis perniagaan.
Katanya, siasatan turut mendapati terdapat rungutan dan kebimbangan orang ramai terutama peniaga-peniaga di bangunan premis akan bunyi kuat yang mengganggu operasi kedai dan ketenteraman pengguna lain dipercayai kesan aktiviti perlombongan mata wang krypto bitcoin berkenaan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dan mengenalpasti rangkaian sindiket ini dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.
Katanya, siasatan juga dilakukan untuk kesalahan melakukan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kesemua tangkapan kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Berita penuh: https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/tiga-premis-disyaki-curi-elektrik-diserbu/