Tiga pelajar capai ‘straight A’ selepas berjaya rayu keputusan SPM

Tiga pelajar capai ‘straight A’ selepas berjaya rayu keputusan SPM

 

Tiga calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari Kuantan, Pahang berjaya mendapat semua A selepas permohonan semakan semula keputusan mereka diluluskan.

Pada mulanya, ketiga-tiga pelajar terbabit tidak meraih semua A ekoran satu mata pelajaran diambil mereka iaitu Bahasa Cina, Pendidikan Moral dan Bahasa Inggeris memperoleh gred B+.

Namun selepas menerima nasihat pengetua, rakan dan ahli keluarga, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih itu membuat permohonan semakan semula.

Memetik laporan China Press, pengetua sekolah terbabit berpendapat bahawa lebih dari 20 pelajar sekolahnya mempunyai peluang yang cerah untuk meraih Semua A.

Sehubungan itu, pihaknya memberikan galakan kepada pelajar untuk memohon semakan semula keputusan SPM menerusi laman web atau aplikasi e-Lembaga Peperiksaan.

Permohonan itu boleh dilakukan oleh mana-mana pelajar di dalam tempoh 30 hari selepas keputusan diumumkan dengan bayaran sebanyak RM100 bagi setiap mata pelajaran.

Salah seorang pelajar yang dikenali sebagai Huang menunggu dalam tempoh lapan hari sahaja sebelum gred B+ untuk Bahasa Cina diperolehnya bertukar kepada A-.

Manakala pelajar dikenali sebagai Zheng pula berjaya meraih A- selepas memohon semakan semula bagi subjek Pendidikan Moral yang sebelum ini bergred B+.

“Selepas menunggu selama seminggu, akhirnya saya dapat memenuhi impian untuk memperoleh semua A. Saya bercadang untuk memohon biasiswa dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan,” kata Zheng memetik laporan China Press.

Seorang lagi pelajar iaitu Liang yang berjaya mendapat gred A- bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris pula merancang untuk masuk ke Kolej Pra-Universiti terlebih dahulu.

“Selepas meraih keputusan B+ dalam Bahasa Inggeris pada minggu lepas, keluarga dan rakan-rakan menasihati saya untuk membuat permohonan semakan semula. Mujur semakan itu berjaya.

“Saya memutuskan untuk masuk ke Kolej Pra-Universiti (Tingkatan Enam) terlebih dahulu dan menggunakannya sebagai batu loncatan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.” Jelas Liang.