Tiga lelaki rogol kanak-kanak 12 tahun

Tiga lelaki rogol kanak-kanak 12 tahun

Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol tiga lelaki dalam kejadian di rumah tumpangan di Hutan Melintang dekat sini, semalam.

Difahamkan, kanak-kanak yang tinggal bersama ibu saudaranya sejak tiga bulan lalu dan sudah tidak bersekolah, dipercayai melarikan diri dari rumah di Hutan Melintang, dekat sini pada 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata mangsa kemudian pergi ke taman permainan berhampiran sebelum dihampiri dua lelaki.

“Dua lelaki itu mengajak mangsa mengikuti mereka dan disebabkan tiada tempat untuk dituju, kanak-kanak itu kemudian bersetuju dan dibawa ke sebuah rumah tumpangan yang dihuni seorang lagi rakan suspek.

“Mangsa diajak melakukan hubungan seks dan perbuatan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek sebelum mangsa ditinggalkan sendirian di rumah tumpangan berkenaan.

“Mangsa juga mengakui mengenali seorang daripada lelaki itu yang tinggal berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, ibu saudara mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kehilangan kanak-kanak itu kemudian mencari anak saudaranya, namun gagal sebelum dia dihubungi seorang daripada suspek pada 7.40 malam.

Katanya, suspek memberitahu wanita itu anak saudaranya sudah dirogol dan mengugut supaya diberikan RM4,000 untuk membebaskan kanak-kanak itu.

Ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menahan seorang lelaki di Hutan Melintang pada 6.30 pagi hari ini ketika cuba mendapatkan wang dari wanita itu.

“Dua lagi lelaki ditahan setengah jam selepas itu dan polis turut merampas beberapa barangan termasuk kenderaan dan telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 33 tahun itu positif methampethamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan berada di Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.

“Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

Sumber: Suara Perak