Tiga individu termasuk dua wanita berdepan hukuman gantung

Tiga individu termasuk dua wanita berdepan hukuman gantung

 

Tiga individu termasuk dua wanita berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan pil yaba, minggu lalu, lapor Utusan.

Mengikut kertas pertuduhan, M. Hemamalani, 26, dan wanita warga Indonesia, Puteri Adelia, 21, didakwa secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah jenis pil yaba berjumlah 161 gram.

Mereka melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Laluan Lahat Mines 4, Bandar Lahat Mines di Lahat pada pukul 5.30 petang, 4 Oktober 2021.

Seorang lagi tertuduh, L. Narayanan, 42, yang merupakan warga India didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 62,000 gram di sebuah rumah di Lahat Mines 1, Bandar Lahat Mines pada pukul 5.15 petang, 4 Oktober 2021.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas kes dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh diwakili R. Rajasegaran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 14 Disember ini bagi menunggu laporan kimia.

Media pada 6 Oktober lalu melaporkan, ketiga-tiga tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam dua lokasi berasingan di Lahat.

Dalam serbuan itu, polis merampas 62 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 62 kilogram dan 1,400 biji pil kuda.