Insiden bas terbakar: Lindungi anak murid hingga akhir hayat, tiga guru terkorban diangkat sebagai wira

Insiden bas terbakar: Lindungi anak murid hingga akhir hayat, tiga guru terkorban diangkat sebagai wira

 

Sekurang-kurangnya 20 murid tadika termasuk tiga orang guru dari wilayah Uthai Thani di utara Thailand, terkorban selepas bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbakar pada Selasa.

Bas yang membawa enam guru dan 39 murid itu dalam perjalanan pulang ke Uthai Thani sebelum terbakar di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok.

Difahamkan, tayar bas berkenaan meletup hingga menyebabkan kenderaan itu melanggar tembok di tepi jalan. Kemalangan itu kemudian menyebabkan kebaran meletus dan merebak ke seluruh bas dengan pantas.

Menerusi hantaran di Facebook The Nation Thailand, insiden terbabit turut mengorbankan tiga guru iaitu Kanokwan Sriphong, Pimthong Sombat dan guru pelatih, Sarinya Homkason.

Ketiga-tiga guru ini telah diangkat sebagai wira sebenar kerana melindungi anak-anak murid mereka sehingga ke akhir hayat.

Kanokwan Sriphong dikatakan baru sahaja menerima ijazahnya dengan anugerah kelas kedua dalam pendidikan rendah, dalam majlis konvokesyen pada 26 September lalu.

Manakala Pimthong Sombat atau dikenali sebagai Teacher Joy adalah penerima pingat perak atas kecemerlangannya dalam mengajar subjek Sejarah dan kewarganegaraan, baru-baru ini.

Sementara itu, Sarinya Homkason pula adalah seorang pelajar yang bakal menamatkan latihan industrinya tidak lama lagi.

Dalam perkembangan terkini,CNN World melaporkan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan yang meragut 23 nyawa itu sudah pun berjaya ditahan.

Sebelum ini, pemandu bas berkenaan didakwa melarikan diri semasa kebakaran itu berlaku. Bagaimanapun, dia menyerah diri di balai polis pada petang Selasa.

Polis tempatan memaklum, pemandu bas berkenaan disiasat atas kesalahan gagal berhenti untuk menyelamatkan penumpang dan menyembunyikan kemalangan daripada pihak berkuasa.

Ketika sesi soal siasat, pemandu itu mengakui dia memandu bas itu seperti biasa pada hari kejadian. Secara tiba-tiba, bas yang dipandu hilang keseimbangan pada tayar kanan hadapan dan melanggar kenderaan lain.

Pemandu itu turut mendakwa dia berusaha mencapai alat pemadam api yang ada dalam bas tersebut namun tidak berjaya.

Dia kemudian bertindak melarikan diri kerana panik selepas melihat kebakaran yang semakin marak.

Setakat ini, pihak polis Thailand sedang menjalankan siasatan sama ada syarikat bas itu mematuhi segala standard keselamatan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, syarikat bas tersebut memaklumkan bahawa mereka akan memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan.