Tiga daripada 15 MP Umno tarik sokongan pada Muhyiddin diangkat sebagai menteri

Tiga daripada 15 MP Umno tarik sokongan pada Muhyiddin diangkat sebagai menteri

 

TIGA daripada 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai anggota Kabinet.

Menurut sumber, tiga Ahli Parlimen berkenaan ialah Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Noraini dikatakan bakal memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini disandang Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Azalina pula dijangka akan memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang).

“Jawatan itu sebelum ini disandang Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Namun, Takiyuddin mencetuskan kontroversi berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

“Noh Omar tidak dapat dipastikan portfolio yang bakal dipegangnya,” katanya kepada Malaysiapost.

Sebelum ini 15 Ahli Parlimen Umno termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen itu menyebabkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh hilang majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Pada 16 Ogos Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mempersembahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong selepas hilang majoriti di Parlimen.

Keputusan itu menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas menerima 114 sokongan Ahli Parlimen.

Dalam pada itu sumber berkata, bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan selepas menarik sokongan terhadap Muhyiddin, tidak tersenarai dalam Kabinet Ismail Sabri.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula kembali menganggotai Kabinet dan dijangka mengambil portfolio yang ditinggalkan Zuraida.

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka kekal sebagai Menteri Luar.

Sumber: Malaysiapost