Tiga bulan kedai motosikal tidak beroperasi, lelaki mahu jual bengkel ditemui mati tergantung

Tiga bulan kedai motosikal tidak beroperasi, lelaki mahu jual bengkel ditemui mati tergantung

Seorang lelaki ditemui tergantung di dalam sebuah bengkel motosikal di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Masjid Tinggi di sini, malam ini.

Mangsa, Tan Hock Meng, 60, ditemui isterinya dalam keadaan tergantung dalam bengkel miliknya setelah tidak pulang ke rumah yang terletak di Taman Sinar dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Menurut sumber, mangsa bercadang untuk menjual bengkelnya pada minggu ini kepada seorang pembeli dan meminta masa untuk mengemas barang-barang yang terdapat di dalam bengkel tersebut.

“Kedai motosikal yang diusahakan mangsa tidak beroperasi sejak tiga bulan lalu dan dia dikatakan bercadang untuk menjual kedainya pada harga RM10,000,” ujar sumber tersebut.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala pihak polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Sumber: Kosmo

Seorang mekanik motosikal ditemukan mati menggantung diri dalam bengkelnya di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, mayat Tan Hock Bean, 60, ditemukan isteri dan anaknya setelah mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa di Taman Sinar, dekat sini.

Katanya, sebaik sahaja dua beranak itu tiba di tempat kejadian, mereka mendapati pintu besi hadapan bengkel terbuka dan dengan jelas melihat mangsa dalam keadaan tergantung.

“Polis menerima aduan mengenai kejadian ini pada pukul 9.40 malam. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggantung diri menggunakan tali nilon yang dililit pada besi pencakuk kipas siling pada alang kayu bengkel.

“Mangsa dipercayai menggunakan sebuah kerusi bulat untuk memanjat semasa melilit tali pada besi pencakuk kipas.

“Polis menemukan barang peribadi mangsa seperti dompet berisi wang tunai, MyKad, kad bank, telefon bimbit, kunci motosikal dan kunci bengkel,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Sementara itu, difahamkan kejadian berlaku setelah mangsa mahu menjual bengkelnya kepada seorang pembeli.

Sumber: Utusan