Tiga beradik lelaki maut, ibu parah

Tiga beradik lelaki maut, ibu parah

[DIKEMASKINI] Tiga beradik maut sementara ibu mereka parah selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Simpang Pulai di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy berusia setahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mereka pula, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang memandu kenderaan itu, berada dalam keadaan kritikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kesemua mangsa yang beralamat dari Batu Caves, Selangor itu masing-masing tersepit dalam kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal didapati, kenderaan dinaiki empat beranak itu hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar bahagian belakang sebuah lori muatan barangan elektronik yang berada di lorong kecemasan.

“Pelanggaran telah mengakibatkan semua mangsa yang berada dalam kereta itu tersepit.

“Tiga penumpang kereta itu terdiri kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta iaitu seorang wanita mengalami cedera parah,” katanya.

Menurutnya, sebelum nahas berlaku, polis menerima maklumat awal kemalangan membabitkan dua lori di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

“Selepas dua lori itu masuk ke lorong kecemasan, Pasukan PLUS Ronda datang memberi kawalan lalu lintas.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba kereta dinaiki empat beranak itu yang berada di lorong kanan hilang kawalan dan melanggar lori terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa serta wanita yang cedera telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, pemandu kedua-dua lori berusia 32 dan 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis telah menghubungi waris mangsa untuk memaklumkan kejadian itu dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115075/BERITA/Semasa/Tiga-beradik-maut-ibu-parah