Tidak wajar desak Presiden Umno berundur

Tidak wajar desak Presiden Umno berundur

Desakan agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Presiden UMNO merupakan tindakan yang tidak wajar.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Perak, Irmalini Amir Hamzah berkata, semua pemimpin perlu menyedari hakikat pengorbanan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid mempertahankan UMNO ketika parti ini tumbang dan menjadi pembangkang selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, sayap-sayap parti sama ada Pemuda, Wanita dan Puteri sebaliknya perlu tampil dengan idea serta gerak kerja membantu Presiden parti menguatkan UMNO.

“Dalam keadaan UMNO berdepan pelbagai cabaran dan ancaman, sebarang pertelingkahan mahupun ketidakpuasan hati peribadi harus diketepikan. Jika terdapat sebarang kritikan, saluran parti adalah yang terbaik untuk dikemukakan,” katanya menerusi Facebook beliau.

Irmalini  yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun berkata,  di sebalik pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh UMNO, satu gabungan antara pemimpin baharu dan pemimpin lama harus dibentuk bagi memastikan UMNO kekal relevan.

Menurutnya, pemimpin muda sama ada dalam kalangan Pemuda, Wanita dan Puteri harus diberikan peluang untuk berada di semua peringkat parti sama ada di cawangan, bahagian, negeri dan Pusat.

Beliau berkata, pemimpin veteran pula harus berjiwa besar dan berlapang dada menerima kepimpinan generasi muda bagi memastikan UMNO mendapat sokongan besar golongan berusia 18 hingga 30 tahun yang bakal menjadi pengundi terbesar pada PRU Ke-15.

“Kehadiran pemimpin muda di dalam parti tidak harus dilihat sebagai ancaman sebaliknya perlu diraikan agar UMNO tidak ketandusan kepimpinan pada masa akan datang.

“Tindakan mengenepikan pemimpin muda di dalam parti merupakan satu kerugian besar buat UMNO golongan ini mampu memberi nafas baharu kepada parti tertua di negara ini,” katanya.

Beliau yakin Presiden parti menyedari perkara itu dan sedang berusaha ke arah memastikan UMNO yang berusia 75 tahun ini tidak akan mengalami defisit sokongan generasi muda.

“Oleh itu, pimpinan di semua peringkat perlu terbuka dalam menerima perubahan dan memastikan legasi yang ditinggalkan mampu memberi nafas baharu kepada UMNO,” katanya. – UO