Tidak perlu ‘panic buying’, barang keperluan cukup bagi kawasan PKPD

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bekalan barangan keperluan di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu adalah mencukupi.
Sehubungan itu, KPDNHEP Perak menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat pembelian panik selama tempoh berkenaan yang berkuat kuasa hari ini hingga 4 Jun.
“Bekalan barang keperluan dijamin mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.
“Premis peruncitan seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, restoran, gerai makanan dan lain-lain masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata KPDNHEP Perak dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai turut dinasihati hanya keluar sekiranya terdapat keperluan untuk membeli barangan keperluan, mengelakkan pembelian berlebihan serta mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Pengguna juga disaran menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barang keperluan dan makanan ketika tempoh PKPD ini,” kata kementerian itu. – HM