“Tiba-tiba pintu tertutup..” – Wanita dakwa badan tersepit, kaki diseret bas ketika ambil bagasi

“Tiba-tiba pintu tertutup..” – Wanita dakwa badan tersepit, kaki diseret bas ketika ambil bagasi

 

Seorang wanita dakwa badan tersepit di dalam tempat penyimpanan bawah, selain kakinya diseret bas ketika sedang mengambil bagasi di sebuah terminal bas di Shah Alam, kelmarin.

Menerusi ciapan dimuat naik, dia dikenali Nurul Shafiyyah memaklumkan kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika dia baru tiba dari Johor Bahru.

Menurut Nurul Shafiyyah, ketika kejadian dia ingin mengambil bagasinya di tempat berkenaan, namun secara tiba-tiba pintu jenis hidraulik tertutup dan bas berkenaan mula bergerak.

Ia secara tidak langsung membuatkan separuh kakinya berada di luar bas dan terseret di atas jalan raya.

“Bayangkan lepas dia tutup pintu tu, bas terus jalan. Kaki dah tentunya terseret dekat jalan tar. Jerit minta tolong tapi tiada siapa yang mendengar.

“Cubalah bayangkan macam mana saya tersekat dekat bawah tu dengan betis tersangkut pada pintu. Badan kat dalam, kaki di luar. Jari kaki dah bergesel dengan jalan raya,” luahnya.

Bercerita lanjut, bas tersebut mula berhenti hanya selepas pemandu tersebut perasan ada sesuatu yang terkeluar dari tempat penyimpanan bagasi menerusi cermin pandang sisi.

Jelasnya, pemandu bas tersebut kemudiannya turun dan menyedari wanita itu tersepit dan segera membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

Selepas itu bas tersebut dipercayai meneruskan perjalanan ke Klang selepas menurunkan penumpang di Shah Alam.

Akuinya, dia tidak boleh tidur pada malam berkenaan dan memikirkan nasib sekiranya pemandu bas berkenaan tidak perasan akan dirinya tersangkut di dalam tempat meletak bagasi dan separuh kakinya terjuntai di luar.

“Rasanya saya ada kaki lagi ke?

“Jadi saya nak minta pendapat, boleh ke tuntut insurans atau apa-apa? Sebab pak cik saya dah bawa pergi buat laporan polis, tapi saya tak tahu lagi apa nak buat,” katanya.

Selain laporan polis, wanita berkenaan turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan kecederaan di kaki dan lebam di bahagian betis akibat kecuaian pemandu bas terbabit.