“Tiara pembawa rezeki” – Tak pernah berkira promosi bisnes orang, Achey menangis dapat hadiah Ford Ranger

“Tiara pembawa rezeki” – Tak pernah berkira promosi bisnes orang, Achey menangis dapat hadiah Ford Ranger

 

Pelakon dan Pelawak, Achey tidak dapat menahan rasa sebak apabila dikejutkan dengan hadiah sebuah kereta jenis Ford Ranger yang dihadiahkan oleh rakannya, usahawan baju jersi.

Menerusi satu perkongsian video di TikTok Faris Azri Choii, Achey dilihat menangis sebak apabila tiba-tiba dihadiahkan sebuah kereta mewah kerana menurutnya dia tidak pernah mengharapkan balasan ketika membantu perniagaan rakannya itu.

Menurut Faris, hadiah itu diberikan kerana Achey tidak pernah berkira dalam membantu perniagaannya.

Rezeki orang baik.' Terharu terima hadiah Ford Ranger Raptor, luahan hati  Achey buat warga maya tersentuh - Sinar Plus

Bahkan ketika akaun media sosial miliknya disekat, Achey sanggup membantu untuk menyebarkan tentang produk baju-baju jersinya di akaun Achey sendiri.

“Semasa saya berada di Johor, akaun saya kena shadowban. Saya minta abang Achey tolong sebarkan kandungan produk banyak-banyak untuk saya. Kalau saya cecah satu nilai tu, saya janji akan bagi ‘Ford Ranger’,” kongsinya.

Achey ketika melihat kereta tersebut, terus menangis kerana tidak menyangka diberikan rezeki yang begitu besar.

“Bila saya buat perkhidmatan untuk satu syarikat, saya akan buat sehabis baik. Kalau syarikat tu layan saya sebagai keluarga, saya tak kisah dah. Kau nak sebarkan berapa banyak pun. Sampai orang cop muka saya “Kau ni jilat Choii”. Saya tak kisah!.

“Apa yang saya buat, saya bantu awak Faris. Tapi, kalau awak balas saya macam ni… macam mana saya nak balas balik?,” katanya.

Faris berkata, dia tidak mahu Achey membalas apa-apa kepadanya kerana kereta tersebut hadiah untuk Achey selama dia membantu mempromosikan perniagaan baju jersi.

Sementara itu di ruangan komen usahawan itu, warganet menyifatkan anak angkat Achey iaitu Tiara benar-benar membawa rezeki buat pelakon itu dan isterinya.