Tiada tawaran berlakon, Haneesya Hanee dedah ibu terpaksa gadai emas demi kelangsungan hidup

Tiada tawaran berlakon, Haneesya Hanee dedah ibu terpaksa gadai emas demi kelangsungan hidup

 

Tiada tawaran berlakon sejak awal tahun, pelakon dan model Haneesya Hanee mendedahkan ibunya terpaksa menggadaikan barang kemas demi kelangsungan hidup.

Ujar Haneesya atau Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 24, biarpun dihalang, insan paling disayanginya itu sanggup berbuat demikian sementara menunggu keadaan ekonomi mereka pulih.

Tahun ini tiada ‘shooting‘ langsung. Sekarang ini kewangan tengah goyang sikit tapi rezeki sentiasa ada yang saya pun tak tahu datang dari mana.

“Ada kala, ada masa gelang emas mak saya kena pergi gadai, rantai dia. Lepas tu, kalau ada duit saya pergi beli balik.

“Terkadang sampai marah dia jangan jual. Penat saya kerja bagi dia melawa, jangan jual tapi dia mak kan. Dia tak membebankan anak, dia jual juga,” katanya dalam temu bual dengan podcast, myaudioplus, baru-baru ini.

Menurut anak sulung daripada tiga bersaudara itu, sikap positif ibunya, Nor Sakuraneeda, 53, berdepan apa jua cabaran menyuntik semangat untuknya bekerja lebih keras.

Menerusi perkongsian tersebut, Haneesya turut menzahirkan penghargaan terhadap wanita yang menjadi contoh kepadanya melihat dunia.

Saya rasa apabila dia buat macam itu, benda itu yang bakar semangat saya. Saya kena cari kerja cepat supaya dapat beli balik emas dekat dia.

“Mak Haneesya ini kuat dan saya nak jadi sekuat dia. Perjalanan hidup mak saya lagi susah dan banyak cabaran.

“Apa yang saya lalui ni saya rasa sakit. Saya suka orang nampak saya kuat. Cuma keluarga saya yang tahu apa sebenarnya yang saya lalui,” ujarnya lagi.

Meskipun bercerita mengenai situasi getir keluarganya itu sehingga menitiskan air mata, Haneesya akur dengan keadaan semasa dan reda untuk terus bangkit.

Sebelum ini pelakon drama rantaian, Aku Bukan Ustazah itu pernah membuat pendedahan tidak malu tinggal di flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) sejak berusia 12 tahun.