Tiada pemeriksaan mengejut rumah ke rumah semasa Aidilfitri – Ketua Polis Perak

Tiada pemeriksaan mengejut rumah ke rumah semasa Aidilfitri – Ketua Polis Perak

Polis Perak mengambil pendekatan lebih berhemah untuk tidak mengetatkan pemeriksaan semasa Aidilfitri nanti termasuk pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah bagi mengesan individu yang tidak mematuhi arahan rentas negeri.

Sebaliknya, kawalan lebih ketat akan dilakukan di pos-pos sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu masuk ke negeri ini termasuk menambah bilangan anggota sekiranya perlu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengambil pendekatan berhemah semasa sambutan Aidilfiri memandangkan penduduk negeri ini sudah pasti mengambil peluang untuk berziarah.

Menurut beliau, tiada sekatan untuk orang ramai berkunjung ke rumah saudara mara dan kenalan semasa Aidilfitri tetapi hendaklah mematuhi aturan yang telah ditetapkan termasuk mengamalkan jarak sosial dengan kawalan kendiri.

“Tiada keperluan untuk kuat kuasakan pemeriksaan dari rumah ke rumah kerana Perak yang berada dalam zon Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan hanya tertakluk pada peraturan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Kita tak nak halang orang ramai beraya, lagipun tiada halangan untuk rentas daerah. Cuma kita ketatkan pemeriksaan di semua pos-pos SJR pintu masuk yang bersempadan dengan Pulau Pinang, Kedah dan Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada Program Agihan Juadah Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak anjuran Persatuan India Muslim negeri Perak di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamad Arib Aliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Pada majlis itu seramai 20 warga PDRM Perak seperti ibu tunggal dan anggota yang mengalami masalah kesihatan menerima sumbangan selain edaran 3,000 pek berbuka puasa kepada anggota yang bertugas.

Mengulas lanjut kata Mior Faridalathrash, pada masa ini Polis Perak menguatkuasa peraturan sedia ada termasuk mengekang cubaan rentas negeri selain menggunakan permit palsu sepanjang Ramadan ini.

“Sekiranya ada sebarang perubahan termasuk SOP berkaitan Adilfitri sekiranya ada nanti, kita akan ikut sepertimana diarahkan. Jadi buat masa ini kita kekal pada arahan dan tugas sedia ada untuk mengekang penularan wabak Covid-19. – Utusan