“Tiada niat hina agama..” – Dikecam kaitkan gaun Aishwarya Rai dengan Thaipusam, Chef Wan tampil mohon maaf

“Tiada niat hina agama..” – Dikecam kaitkan gaun Aishwarya Rai dengan Thaipusam, Chef Wan tampil mohon maaf

 

CEF selebriti Datuk Redzuawan tidak menyangka komen gurauannya berkenaan gaun yang dipakai oleh pelakon Aishwarya Rai di Festival Filem Cannes telah disalah anggap oleh segelintir pihak.

Menurut Redzuawan atau lebih mesra disapa Chef Wan, 66, dia sama sekali tidak berniat untuk mempermainkan agama Hindu dan tampil memohon maaf atas komen yang telah dibuat di hantaran Instagram Namaste Bollywood itu.

“Bukan niat sebenar saya untuk bersikap perkauman atau burukkan agama Hindu. Sebagai seorang chef televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan permohonan maaf kepada semua penganut agama Hindu kerana telah membuat kenyataan sedemikian. Saya minta maaf,” katanya menurut mStar.

Komen yang ditinggalkan oleh Chef Wan disalah tafsir.

Chef Wan berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada pagi Selasa.

Dalam pada itu, Chef Wan menjelaskan dia hanya berkongsi pendapat dan berseloroh kerana kapsyen yang dibuat bertanyakan tentang pandangan netizen terhadap gaun yang disarung oleh Aishwarya.

“Fikiran saya serta-merta memikirkan material yang digunakan pereka sering dilihat di perayaan Thaipusam kavadi yang diraikan di Batu Caves.

“Sebab ramai juga pengikut saya komen di situ nampak macam bulu burung merak. Saya menganggap buruk merak itu cantik. Saya tidak berniat langsung untuk menghina agama lain.

“Saya hanya berjenaka dan bercakap jujur namun komen saya disalah tafsir sampai polis pun terpaksa siasat kerana ada yang buat laporan!” ujarnya.

Chef Wan bagaimanapun terkejut dengan reaksi yang diberikan netizen dan menyifatkan masyarakat Malaysia kini terlalu sensitif.

Kata Chef Wan, dia menerima pelbagai impak daripada komen tersebut dan brersedia memohon maaf sekiranya komennya itu merupakan satu kesalahan.

“Saya tidak tahu sama ada nak ketawa atau menangis. Sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia sekarang begitu sensitif dalam banyak perkara.

“Saya percaya kebenaran dan niat jujur kita, Allah mengetahuinya dengan baik. Tak perlu takut jika kita tidak buat kesalahan.

“Namun jika benar telah melakukan kesalahan, kita harus dengan jujur minta maaf secara terbuka,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan Chef Wan sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung satu hantaran di media sosial yang bersifat perkauman membabitkan Aishwarya.

Menerusi komen tersebut, Chef Wan secara berseloroh menyatakan gaun yang dipakai oleh pelakon Bollywood itu seperti membawa kavadi ke upacara Thaipusam di Batu Caves.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul iaitu Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihaknya menerima satu laporan berhubung kes tersebut.