Tiada keputusan bubar DUN Perak lagi

Tiada keputusan bubar DUN Perak lagi

 

Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Negeri Perak tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak hari ini.

Ia disahkan oleh sumber terdekat pihak istana ketika dihubungi petang ini.

“Tiada,” katanya ringkas.

Sumber itu berkata demikian sewaktu ditanya sama ada pihak pejabat Istana Sultan Perak akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan pembubaran Dun Perak hari ini.

Pagi tadi, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan dirinya sekali lagi dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas beliau dipanggil menghadap baginda pada Rabu lalu berkaitan pembubaran Dun Perak.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak tiba di Istana Kinta di sini, dengan menaiki kenderaan rasmi jam 11.50 pagi tadi bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Azmir Shah Zainal Abidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Saarani kemudiannya dilihat meninggalkan perkarangan Istana Kinta kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Sementara itu, Saarani ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp setakat jam 4.40 petang tadi tidak membalas pertanyaan mengenai keputusan permohonan membubarkan Dun.