Thailand haramkan nikah bawah 17 tahun selepas kes lelaki Malaysia kahwini kanak-kanak perempuan 11 tahun

Thailand haramkan nikah bawah 17 tahun selepas kes lelaki Malaysia kahwini kanak-kanak perempuan 11 tahun

 

Thailand kini telah menguatkuasakan undang-undang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur 17 tahun selepas ada kes seorang lelaki dari Malaysia bernikah dengan kanak-kanak perempuan usia 11 tahun di Sungai Golok, selatan Thailand pada 2018 lepas.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata peraturan itu sudah dikuatkuasakan pada tahun sama iaitu 2018 selepas isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun itu mencetuskan kontroversi.

Tambahnya lagi, peraturan tersebut telah diluluskan oleh Pusat Komuniti Islam Thailand untuk membendung kejadian seumpama berulang.

“Perkahwinan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak yang berusia empat kali lebih muda daripadanya pada 18 Jun 2018 sebagai isteri ketiga lelaki itu menggemparkan bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Malaysia.”

“Ia adalah pengalaman kali pertama bagi Majlis Agama Islam Narathiwat sejak ia ditubuhkan 30 tahun lalu.”

“Sebelum ini, kami tidak pernah mengendalikan kes perkahwinan pasangan usia sebegini di Thailand dan ia adalah sejarah bagi kami.”

Disebabkan kes tersebut menjadi kontroversi, beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa Thailand telah mengarahkan pasangan itu menjalani perpisahan secara ‘mufarqah’

Menurut sumber lagi, peraturan pengharaman nikah bawah 17 tahun ini juga telah diumumkan oleh Pusat Komuniti Islam Thailand di semua masjid negara itu, termasuklah di selatan Thailand.

Menurut Pengarah Koordinasi komuniti (Pejabat Islam Sheikhul), Wistu Binlateh, komuniti itu sudah meluluskan usul itu pada November, 2018.

A4

Peraturan itu telah melarang mana-mana masjid memberi kebenaran untuk perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah 17 tahun melainkan ada kebenaran daripada Mahkamah Syariah serta kebenaran ibu bapa bersertakan dokumen yang diluluskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Wilayah atau mana-mana balai polis tempatan.

Malah, ada satu jawatankuasa telah diwujudkan untuk membuat penilaian berkenaan dengan sebarang perkahwinan yang membabitkan kanak-kanak, dan memberi kebenaran jika ia bermanfaat buat pasangan.

A1

Untuk rekod, tular berita mengenai seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun mengambil kanak-kanak bawah umur sebagai isteri ketiganya pada 18 Jun 2018.

Gambar lelaki tersebut melangsungkan perkahwinan menjadi tular di media sosial setelah ia dikongsikan oleh isteri kedua lelaki tersebut.