Tewas sejak PRU 2008, Noh ‘berhasrat’ untuk rampas semula Selangor

Tewas sejak PRU 2008, Noh ‘berhasrat’ untuk rampas semula Selangor

 

BN perlu bekerjasama dengan PAS jika ingin merampas semula Selangor daripada PH, kata Noh Omar.

Pengerusi BN Selangor itu membangkitkan PRN Melaka lalu di mana BN bertembung dengan PAS walau memeterai kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Noh membangkitkan kekalahan mereka pada PRU lalu adalah kerana berlakunya pertembungan tiga penjuru dengan PAS.

“Kerana itu kita di Selangor, cara terbaik ialah dengan MN. Sebab itu kita dengan PAS negeri hubungan kita baik.

“Kita harap pucuk pimpinan Umno, PAS tolong tengok…Selangor ini lain dari lain. Politik ini lain negeri, lain cara,” katanya seperti dipetik laman Free Malaysia Today.

Dia berkata demikian dalam program Sembang Politik PRU15: BN Mampu Tawan Selangor? yang disiarkan di laman Facebook Utusan.

BN mula tewas di Selangor sejak PRU 2008.

Pada masa ini, PH memegang 41 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Bersatu memegang enam kerusi, Umno dengan lima kerusi, Pejuang dengan tiga kerusi dan PAS satu kerusi.

Noh berkata lagi, dia telah menyuarakan pandangan itu kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan juga Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Kalau di Selangor Umno dan PAS masih nak bertembung saya bimbang dua-dua akan habis. Kena cari formula jangan bertembung.

“Kita harap semangat MN di Selangor kita akan teruskan, tapi kalau PAS nak dengan Perikatan Nasional (PN) kita tak ada pilihan. Jangan esok-esok berlaku pertembungan nak salahkan Umno,” katanya lagi.

Berhubung kerjasama dengan Bersatu, Noh yang juga pengerusi Umno Selangor berkata pihaknya terikat dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti itu.