Tertekan ‘assignment’ terlalu banyak, pelajar universiti hantar surat layang pada pensyarah

Tertekan ‘assignment’ terlalu banyak, pelajar universiti hantar surat layang pada pensyarah

 

Apabila sudah memasuki alam universiti, para pelajar sudah boleh menjangkakan bakal memikul tanggungjawab yang berat seperti diberikan tugasan dan aktiviti yang banyak menerusinya.

Namun begitu, bagi Gen Z terutamanya dilihat sering mengeluh apabila diminta berbuat sedemikian. Pelbagai alasan yang dilontarkan demi mengharungi jalan yang mudah tanpa perlu berusaha dalam mencapai cita-cita mereka.

Baru-baru ini, seorang pengguna X @Rusydi_RL telah berkongsi sebuah gambar yang dipercayai satu surat layang berkaitan luahan pelajar universiti yang mengalami stress berpunca daripada ‘assignment’ berlambak dan jadual yang padat.

Lebih mengejutkan lagi, mereka tampil mendakwa terdapat kebarangkalian mungkin terjadi kes bunuh diri ekoran masalah yang melanda.

“Mesej kepada para lecturer, anda tidak faham ke kami stress tapi bila di depan anda kami slumber je. Silap hari bulan ada yang mati bunuh diri kerana stress.

“Anda nak ke rasa bersalah seumur hidup kalau ada yang mati bunuh diri disebabkan anda. Kami cakap kerana dengar luahan para pelajar.

Coursework berlambak, assignment lagi, test lagi, presentation lagi. Suruh buat report macam orang bodoh. Kami bukan bodoh. 6 subjek tapi 10 coursework?? Anda fikir wajar??, soal pelajar di dalam surat layang itu.

Di dalam kandungan surat itu lagi, pelajar tampil mempersoalkan jadual yang padat sehingga terpaksa membuat ulang kaji untuk peperiksaan sewaktu sambutan Hari Raya.

Bahkan, mereka turut mempertikaikan cara pengajaran oleh lecturer kerana didakwa dilayan seperti budak sekolah dan bukannya yang diharapkan sebagai orang dewasa yang bakal masuk dunia pekerjaan kelak.

Pemilik ciapan lalu membidas kehadiran surat layang tersebut kerana dilihat ia sesuatu perkara biasa yang dihadapi oleh semua pelajar apabila menjejak kaki ke alam universiti.

Dalam masa yang sama, warga netizen turut memberikan reaksi yang sama terhadap keluhan yang dibuat menerusi surat layang terbabit.

Ramai yang berkongsi bahawa di alam universiti inilah menjadi tempat untuk membentuk seseorang menjadi insan yang berkaliber dan berdisplin di dalam kehidupan.

Selain itu, ada yang menasihati para pelajar untuk menjadi lebih ‘keras’ kerana dunia pekerjaan jauh lebih mencabar daripada alam universiti.