“Terpaksa buat loan” – Gaji hanya RM2K, lelaki pening kekasih minta belikan Honda & iPhone 15 Pro

“Terpaksa buat loan” – Gaji hanya RM2K, lelaki pening kekasih minta belikan Honda & iPhone 15 Pro

 

Seorang pemuda mula merasa resah mengenangkan nasib dirinya yang mengalami krisis kewangan pada usianya baru mencecah 26 tahun.

Difahamkan, lelaki yang memperoleh gaji pokok sekitar RM2,000 itu telah membuat keputusan terburu-buru demi mengabulkan permintaan daripada teman wanitanya.

Tidak hanya menggesa untuk dibelikan cincin tunang dengan segera, teman wanita terbabit juga memberi cadangan agar lelaki itu memandu kereta berjenama Honda.

Pemuda yang baru bekerja dalam tempoh empat bulan itu juga sanggup melakukan pinjaman untuk mendapatkan telefon pintar edisi terbaharu buat teman wanitanya.

Mula merasa resah dan runsing dengan sikap kekasihnya, lelaki berkenaan mengakui terpaksa mengikut karenahnya kerana wanita itu telah dikenalkan kepada keluarga.

“Aku lelaki berusia 26 tahun. Baru bekerja empat bulan, gaji pokok RM2,000. Teman wanita asyik mintak cincin tunang. Selepas itu suruh beli kereta Honda, minta iPhone.

“Beri iPhone 13 tak nak. Nak juga iPhone 15 Pro. Terpaksa buat pinjaman. Peninglah dapat teman wanita macam ini. Tetapi nak buat macam mana, keluarga dah kenal,” katanya.

Tanpa mendedahkan identitinya, perkongsian itu dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) di akaun milik @meinmokhtar.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut menjadi perbincangan hangat di media sosial dengan rata-rata pengguna menyarankan lelaki itu meninggalkan kekasihnya.

Ramai juga individu berkongsi pendapat bahawa pemuda itu tidak perlu resah memikirkan percintaan sebaliknya fokus mencapai matlamat hidup dan mengembirakan keluarga terlebih dahulu.

“Itu pisau kikislah adik oiii. Minta itu dan ini. Suruhlah dia beli sendiri kalau nak. Kau yang ikutkan sangat, kenapa? Macam gaji RM20,000. Dekat mak dan ayah ada bagi duit tak?” soal seorang pengguna.

“Abang boleh fikir sendiri sebenarnya. Janganlah bangang sangat.” Kata pengguna lain yang berang apabila pemuda tersebut tidak boleh membuat keputusan sendiri.