Terowong Menora: Sering dikaitkan dengan kisah mistik, antara sebab laluan ini digelar ‘Jajaran Maut’

Terowong Menora: Sering dikaitkan dengan kisah mistik, antara sebab laluan ini digelar ‘Jajaran Maut’

Nama Terowong Menora pastinya sudah tidak asing lagi di kalangan pemandu kenderaan kerana pembinaannya yang telah memendekkan perjalanan dari utara ke selatan sejauh 30 kilometer. Terowong sepanjang 800 meter ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan antara Plaza Tol Ipoh dengan Kuala Kangsar

Terowong yang terletak di bawah Banjaran Keledang ini sebenarnya telah dirasmikan Sultan Perak ketika itu, DYMM Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullahu-lahu Shah pada 24 September 1987.

Namun lebuh raya tersebut sebenarnya telah mula digunakan sejak 31 Ogos 1986 lagi iaitu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun tersebut. Ia merupakan lebuh raya kedua yang dikenakan bayaran tol di Perak selepas lebuh raya Slim River ke Tanjung Malim.

 

Kedua-dua terowong ini tidak sama panjang adalah kerana sudut potongan pintu masuk, keluar dan selekoh yang menjadi faktor kenapa panjangnya berbeza walaupun ianya sebelah menyebelah.

Malah, bila sebut sahaja Terowong Menora, secara automatik fikiran kita akan mula membayangkan kisah seram yang dipercayai ‘menghantui’ kawasan berkenaan. Cerita yang terkisah kononnya dari pengalaman pengguna jalan raya sendiri, menjadi lagenda yang terus menerus dikongsi dari generasi ke generasi.

Gambar Hiasan

Penampakan pontianak yang terbang di siang hari, pemandu ditumpangi pocong, penunggang skuter tanpa kepala, kereta volkswagen kuning tanpa pemandu dan pelbagai lagi entiti mistik yang dikaitkan dengan terowong tersebut. Tapi seperti biasalah, kebanyakkan versi telah ditambah ‘perisa’ untuk menyedapkan lagi cerita.

‘Jajaran maut’ nama diberi kepada laluan ini  kerana ia telah ‘meragut’ banyak nyawa. Saban tahun, ada sahaja berita yang kita dengar mnegenai kemalangan maut yang berlaku di kawasan Terowong Menora.

Antara kemalangan yang terbaru pernah berlaku di sini adalah:

[1] Nahas Treler Dengan Kereta, Lima Maut Terbakar (6 Oktober 2018)

[2] Bas Ekspres Dirempuh Treler Muatan Simen (13 Disember 2018)

[3] Dua Treler Berlanggar Sebelum Terbakar

Walau bagaimanapun, sebenarnya pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan Terowong menora ini. Malah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut diminta memberi perhatian serius kepada kawasan tersebut.

Namun yang paling penting adalah mentaliti serta sikap pemandu itu sendiri sebenarnya. Superintendan Wan Jamil Wan Chik pernah menyatakan bahawa antara faktor utama kemalangan di sana adalah kerana sikap para pemandu yang masih kurang sifat toleransi serta mengamalkan budaya pemanduan tidak berhemah.

Selain itu, pemandu juga perlulah lebih berhati-hati dan bijak mengenal risiko jalan raya yang curam serta mengelakkan daripada memandu secara berbahaya dan laju apatah lagi ketika menghampiri cerun dan selekoh berbahaya di sepanjang jalan di kawasan Terowong Menora itu.

“Fikirkan mengenai keselamatan diri serta pemandu yang lain, jangan sesekali bersikap terburu-buru agar kemalangan yang bakal meragut nyawa atau mendatangkan kerugian dapat dielakkan”.

Rujukan

[1] Abd. Razak Mohd Ali. 2018. Lima Maut Terbakar Dalam Nahas Treler-Kereta Dekat Terowong Menora dicapai pada 12 Ogos 2019

[2] Farah Suhaidah Othman. 2018. 7 Termasuk 2 Anggota Polis Cedera Bas Dirempuh Treler dicapai pada 12 Ogos 2019

[3] Shamsul Kamal Amarudin. 2019. Lebuhraya Utara Selatan Sesak 17 km, Treler Terbakar dicapai pada 12 Ogos 2019

[4] Nazialita Geynna Maharan. 2016. Sikap pengguna faktor utama kemalangan di sekitar Terowong Menora dicapai pada 12 Ogos 2019

[5] Freddie Aziz Jasbindar. 2019. Fakta Menarik Tentang Terowong Menora dicapai pada 12 Ogos 2019