Terokai keistimewaan Hilir Perak & Perak Tengah

Terokai keistimewaan Hilir Perak & Perak Tengah

 

SEBUT sahaja mengenai Perak, pasti ramai membayangkan keunikan labu sayong dan tembikar buatan tangan orang kampung yang menjadi ikonik pelancongan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Lebih menarik, negeri seluas 21,000 kilometer persegi itu sebenarnya memiliki permata tersembunyi yang wajib diterokai khususnya di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak Tengah, meliputi kawasan Bagan Datuk, Teluk Intan, Sungai Manik termasuk di Kampung Gajah.

Baru- baru ini, seramai 19 pengamal media diberi peluang untuk mengikuti Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia: Getaway To Perak dan berkampung selama empat hari tiga malam bagi menerokai keistimewaan dua daerah tersebut.

Para peserta memulakan pengembaraan dengan menghayati keindahan panorama laut persis Salar de Uyuni di Sky Mirror di Beting Beras Basah, Bagan Datuk.

perak

Tarikan unik di perairan hilir Perak yang menghadap Selat Melaka itu sekali gus mempromosikan lagi nama Bagan Datuk yang menjadi salah satu lokasi penting bagi penyempurnaan Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Selepas puas berswafoto, delegasi kemudian dibawa melawat Ladang Bunga Matahari di Bagan Sungai Burung.

Di Teluk Intan, para peserta dibawa menelusuri Jejak Warisan Teluk Intan dengan aktiviti berbasikal mengelilingi Stesen Keretapi Lama, Batu Bertenggek Teluk Intan, Mahkamah Lama Teluk Intan dan Menara Condong Teluk Intan.

perak

Untuk pengetahuan semua, aktiviti berbasikal menggunakan perkhidmatan CycleDios merupakan produk pelancongan terbaharu di Teluk Intan.

Selesai melakukan aktiviti menyeronokkan tersebut, beberapa pengamal media menunjukkan skil memancing udang galah di Sungai Perak sebelum dibawa melawat Ladang MOCCIS Sdn Bhd.

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana, Ladang MOCCIS mempunyai tarikan zoo mini dengan pelbagai haiwan jinak, aktiviti berkayak termasuk berbasikal di sekeliling tasik.

KEMBALI MELANCONG

Penat berjalan, perut diisi pula dengan keenakan mi rebus dan rojak yang cukup popular di Restoran Mastan Ghani sebelum menaiki river cruise untuk menyaksikan matahari terbenam, kelip-kelip dan kepelbagaian spesies burung di Pulau Bangau.

Itinerari kemudian diteruskan di Sungai Manik untuk melihat dengan lebih dekat perusahaan kecil dan sederhana seperti pembuatan biskut kacang dan kacang tumbuk di Aryza Suri Cekal Enterprise.

perak

Di Kampung Gajah, pengamal media dapat menyaksikan proses pembuatan labu dan tembikar di Kampung Tanjung Bidara serta perusahaan Dodol Opah Yang di Kampung Empai, Pulau Tiga.

Edisi kali ini turut diserikan dengan penganjuran Sesi Ramah Mesra Media bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

Bercakap mengenai program itu, Zainuddin berharap jalinan kerjasama pihak media dapat mempromosikan produk pelancongan yang memfokuskan generasi milenial dengan kombinasi media baharu.

perak

“Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia ialah program yang diberikan nafas baharu bagi menggantikan Ekspresi Media terdahulu. Melalui program ini, kita mahu mempromosikan produk dan destinasi pelancongan dari sudut pandang berbeza.

“Apabila media dibawa merasai pengalaman produk pelancongan yang ingin diperkenalkan dalam norma baharu, kita berharap hasil publisiti program ini akan dapat merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan,” katanya.

Program tersebut juga bertujuan untuk mengembalikan keyakinan rakyat untuk kembali melancong seiring persiapan menuju fasa peralihan endemik susulan pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April lalu.

perak

Program yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan turut memfokuskan destinasi tersembunyi, produk minat khas (niche products), warisan, gastronomi serta pelancongan berasaskan komuniti.

Justeru, sekiranya kalian merancang untuk bercuti bersama keluarga, sanak-saudara mahupun kenalan rapat, jadikan negeri Perak sebagai destinasi pilihan utama!