Terlebih kerja 2 tahun dari umur bersara, guru diminta pulangkan semula gaji RM21,000

Terlebih kerja 2 tahun dari umur bersara, guru diminta pulangkan semula gaji RM21,000

 

Seorang pesara guru berusia 60 tahun di Jambi, Indonesia diarah untuk mengembalikan gaji yang diterimanya sebanyak Rp 75 juta (kira-kira RM 21,580) kepada kerajaan.

Menurut Detik.com, arahan untuk mengembalikan gaji yang diterimanya kerana wanita itu bekerja melebihi had umur wajib bersara.

Wanita itu mengakui, dia sepatutnya bersara sebagai guru pra-sekolah pada usia 58 tahun. Bagaimanapun dia tidak dimaklumkan tentang persaraannya dan terus mengajar untuk tempoh dua tahun lagi.

Selepas mendapat arahan tersebut, wanita tersebut kini keliru dengan masalah yang dihadapinya kerana tidak mempunyai wang untuk dipulangkan semula.

Menurut Detik.com, dia mula memproses fail persaraannya di Badan Kepegawaian Daerah (BKD) Muaro Jambi pada 2023.

Namun begitu, wanita itu telah dipanggil oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRF) Muaro Jambi pada 1 Julai lepas kerana isu terlebih bayar gaji selama dua tahun.

“Apabila saya bertanya kepada Badan Pengelola Keuangan dan Aset Daerah (BPKAD) sebelum ini, mereka memberitahu bahawa saya layak bersara ketika berumur 60 tahun. Jadi saya terus mengajar seperti biasa.

“Tetapi tahun ini saya mendapat arahan untuk memulangkan semula gaji yang diterima selama dua tahun dan tidak dapat menguruskan Surat Keterangan Penghentian Pembayaran (SKPP) kerana sepatutnya sudah bersara,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui menyedari bahawa perlu bersara pada 2022, namun kerana BPKAD memaklumkan umur persaraannya adalah 60 tahun, jadi dia terus bertugas sehingga 2024.

Wanita itu juga mendakwa tidak menerima Surat Pencen pada 2022 dan gajinya terus berjalan seperti biasa.

Wanita terbabit mengakui dirinya terkilan dan sukar untuk menyerahkan semula gaji seperti yang diminta kerana ia merupakan wang peribadinya. Malah, dia juga menjalankan tanggungjawab sebagai guru seperti biasa dalam tempoh 2 berkenaan.

Sementara itu, menurut Ketua Pelantikan dan Data ASN di BKD Muaro Jambi, Rini Herawati menjelaskan bahawa wanita tersebut telah didaftarkan untuk bersara sejak 2022.

Bagaimanapun, dia hanya mengusulkan persaraannya pada Ogos 2023.

“Selama ini BKD sentiasa giat menyebarkan maklumat mengenai pesara ASN setiap tahun. Pihak BKD sentiasa menyampaikan sosialisasi tentang pesara agar tidak menjadi masalah kepada ASN yang memasuki tempoh persaraan,” jelasnya.