Terkini! Rundingan Anwar dengan kem Tun M, Warisan berjaya capai kesepakatan

Terkini! Rundingan Anwar dengan kem Tun M, Warisan berjaya capai kesepakatan

 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai sudah berjaya mencapai kesepakatan dengan Ahli Parlimen (MP) yang bersama kem Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan untuk menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri (PM) baharu.

Pakatan Harapan (PH) difahamkan berjaya menyakinkan parti Pejuang yang diterajui Dr Mahathir dan sekutunya Warisan yang diterajui Datu Seri Shafie Apdal untuk melantiknya sebagai PM baharu dalam mesyuarat sulit yang dihadiri pemimpin utama parti itu.

Sumber berkata pertemuan berlangsung dengan baik dan berjaya mencapai persetujuan sebulat suara, ia selepas Anwar menjelaskan berhubung status terkini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menipunya dan gagal dihubungi selepas itu.

Penjelasan Anwar berjaya menyakinkan Dr Mahathir dan wakil parti Warisan yang berada di Kuala Lumpur, sumber memaklumkan persetujuan tersebut sudah disampaikan kepada Shafie yang berada di Sabah ketika ini.

“Ya, sudah berjaya mencapai persetujuan, Anwar PM9,” kata sumber dalaman yang enggan mendedahkan namanya.

Terdahulu, DAP mendesak supaya Presiden Warisan, Shafie mengambil tanggungjawab untuk menyokong Presiden PKR itu sebagai calon PM baharu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Anwar dan Shafie perlu duduk semeja dan mengenepikan perbezaan untuk memastikan blok pembangkang diterajui PH dan PH Plus dapat kembali berada di Putrajaya sebagai kerajaan pusat.

“Kedua-dua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shafie Apdal memikul tanggungjawab untuk bekerjasama bagi mengembalikan mandat rakyat. Pasti ada alternatif kepada pemerintah PN (Perikatan Nasional) yang gagal sehingga menyebabkan jumlah jangkitan dan kematian tinggi direkodkan serta gagal memulihkan ekonomi daripada kemelesetan.

“Kekal dengan pemerintah PN yang gagal bukanlah jalan keluar untuk masalah yang dihadapi oleh negara, sedangkan seluruh pemerintahan PN adalah masalahnya,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Rayuan tersebut dibuat pada ketika spekulasi berhubung peletakan jawatan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertiup kencang.

Bagaimanapun, Anwar yang bercita-cita menjadi PM juga juga tidak mempunyai majoriti yang dikehendaki dan lebih membimbangkan mereka ketika ini adalah UMNO akan dapat kembali berkuasa sebagai parti dominan dan dilantik jawatan PM dikalangan MP mereka.

Agenda Daily juga melaporkan UMNO sedang memujuk supaya Bersatu dan PAS bersetuju dengan nama calon PM yang akan diketengahkan mereka.

Untuk rekod, Warisan yang dipimpin Shafie mempunyai 8 kerusi MP dan dilihat setia bersama kem Dr Mahathir yang memiliki 4 kerusi parlimen.

Sumber: agendadaily