Terkini! PKP 3.0 disambung lagi dua minggu

Terkini! PKP 3.0 disambung lagi dua minggu

Kerajaan hari ini mengumumkan akan menyambung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dibentang dan dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871.

“Senarai positif dan negatif serta Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk kepada laman web kementerian berkaitan atau laman web MKN di www.mkn.gov.my.

“Memandangkan semua senarai positif serta negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP.

“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” ujar beliau.

Sumber: Kosmo