“Terima kasih PM” – MB Kelantan hargai geran tahunan kerajaan pusat

“Terima kasih PM” – MB Kelantan hargai geran tahunan kerajaan pusat

 

Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pemberian pelbagai geran tahunan termasuk geran perkapita, geran jalan, dan geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud, berkata rekod pemberian geran tahunan yang diterima oleh kerajaan negeri adalah RM272.55 juta bagi 2019, RM296.98 juta (2020), RM317.65 juta (2021), RM346.91 juta (2022), dan RM354.02 juta tahun lalu.

“Anggaran geran tahunan bagi tahun 2024 belum dapat diberikan kerana tertakluk kepada polisi dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) yang bertanya mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.