Terima kasih calonkan saya sebagai MB Perak – Zainol Fadzi

Terima kasih calonkan saya sebagai MB Perak – Zainol Fadzi

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi mengakui tidak berminat untuk menyandang jawatan Menteri Besar Perak yang baharu.

Beliau berkata, segala hantaran di Facebook dan poster yang tersebar merupakan pandangan peribadi dan bukan daripada parti Bersatu.

Menurutnya, Bersatu Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan rasmi berkaitan isu calon Menteri Besar Perak.

“Saya ucapkan terima kasih atas cadangan dan sokongan itu. Masalahnya saya tak nak. Tiada dalam kamus politik saya dan saya tahu mengukur diri sendiri,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan akar umbi Bersatu Perak yang mahukan beliau dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ditanya sama ada Bersatu akan menyokong calon UMNO sebagai Menteri Besar Perak, Zainol Fadzi memaklumkan pimpinan masih belum membuat keputusan dan kenyataan rasmi setakat ini.

Antara poster yang tersebar di sosial media mengenai sokongan terhadap Zainol sebagai MB Perak yang baharu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu berkata, yang pasti Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat pada jam 6 petang ini mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, UMNO mendedahkan parti itu sebulat suara mencalonkan Pengerusi Perhubungan negerinya, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

Kemelut politik Perak berlaku selepas Ahmad Faizal disingkirkan sebagai Menteri Besar Perak selepas usul undi percaya yang dibawa di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu gagal mendapat sokongan majoriti.

Sabtu lalu, Ahmad Faizal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas menyerahkan warkah peletakan tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113717/BERITA/Politik/%5BEKSKLUSIF%5D-Saya-tak-nak-jadi-MB-Perak-Zainol-Fadzi