“Terima kasih bagi nasihat” – Ditegur jual produk keychain guna wajah anak, MUA Bellaz tampil mohon maaf
Sebut sahaja tentang kanak-kanak pasti akan terlintas dalam fikiran kecomelan dan keletah mereka.
Oleh sebab itu, ada segelintir ibu bapa akan merakam momen indah dan berkongsinya di media sosial.
Perkongsian itu kebiasaannya menyebabkan kanak-kanak itu mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Pada masa kini, antara kanak-kanak yang sering menjadi perhatian warganet adalah anak kepada jurumekap terkenal Nabilah Zulyadaini atau lebih dikenali sebagai MUA Bellaz.
Kanak-kanak perempuan yang diberi nama Nur Aisywara Naelofa atau Wara mempunyai peminatnya yang tersendiri hingga menyebabkan MUA Bellaz mengeluarkan keychain khas buat peminat anaknya.
Namun, tindakan tersebut menyebabkan segelintir peminat kanak-kanak cilik itu menganggap ia bukanlah satu perbuatan yang baik.
Rata-rata daripada mereka risau sekiranya terdapat individu yang berniat tidak baik memandangkan kanak-kanak berkenaan masih kecil.
Malah bagi peminat yang beragama Islam, mereka gusar sekiranya Wara mendapat penyakit Ain iaitu penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai dengan sifat iri hati atau sifat takjub terhadap apa yang dipandang.
Peka dengan teguran ramai, MUA Bellaz menerusi kenyataan terbaharunya memohon maaf kepada peminat setia anak perempuannya itu. Permohonan itu dibuat menerusi komen di hantaran Facebook rasmi miliknya.
Jelas Bellaz, keychain tersebut bukanlah dibuat mengikut muka anaknya 100%, namun ia dihasilkan dalam bentuk kartun.
“Hampa (korang), terlebih dahulu Bellaz nak bagitahu yang keychain wara ni Bellaz kartun tau, bukan wajah Wara sebenar, iras-iras Wara sahaja.
“Minta maaf kekurangan dari Bellaz,” tulisnya di Facebook.
Malah, dia juga bertindak membatal dan menghentikan pengeluaran keychain berkenaan.
“Hampa dengan merendah hati nak bagitahu, Bellaz berlapang dada berhentikan production (produksi) cartoon keychain Wara, nak semua omi2 (peminat) Wara happy dan selesa.
“Terima kasih atas nasihat dan ucapan yang baik-baik. Terima kasih walaupun dah separuh dah buat.
“Nanti Bellaz bagi as freegift untuk client makeup Mama dia. Minta maaf sekali lagi,” jelas MUA Bellaz.