Terima dana DAP: Mahkamah Tinggi putuskan ganti rugi RM206,000 kepada Husam

Terima dana DAP: Mahkamah Tinggi putuskan ganti rugi RM206,000 kepada Husam

 

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini menganugerahkan ganti rugi dan kos berjumlah RM206,000 kepada bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.

Perkara itu dinyatakan Husam menerusi hantaran di Facebooknya, berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail pada 2017.

“Alhamdulillah. Hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar anugerahkan ganti rugi dan kos sejumlah RM 206,000 kepada saya dalam kes saman fitnah terhadap Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail, bekas Ketua Eksekutif PKINK.

“Sebelum ini mahkamah sama memerintahkan Datuk Dr Wan Zawawi membayar kos sejumlah RM50,000 kepada saya,” tulisnya.

Sebelum ini, media melaporkan Husam menang kes saman fitnah terhadap Wan Zawawi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 26 Jun 2019.

Saman itu berkenaan kenyataan di laman Facebook Wan Zawawi tiga tahun lalu yang mendakwa Amanah Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Katanya, hakim memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.

“Beliau turut mengarahkan defendan menarik balik artikel berkenaan, menyiarkan permohonan maaf di akhbar nasional selama sehari dan membayar kos perbicaraan berjumlah RM50,000,” katanya.

Sumber: Malaysiapost