Teresa Kok menang saman fitnah terhadap Jamal Yunos

Teresa Kok menang saman fitnah terhadap Jamal Yunos

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapan yang dibuat pada 2017, di mana beliau menuduh ahli parlimen itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Menurut Malaysiakini, Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah Kok terhadap pemimpin Umno itu.

“… defendan gagal membuktikan pembelaannya.

“(Saya dengan ini memerintahkan defendan membayar) ganti rugi, termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan, berjumlah RM300,000.

“Jumlah itu perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari hari ini,” kata Arief ketika menyampaikan penghakimannya.

Arief turut memerintahkan Jamal, yang tidak hadir ke mahkamah hari ini, membayar RM50,000 lagi sebagai kos, dan mengeluarkan injunksi untuk melarang dia atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Selain Kok, Jamal juga mendakwa beberapa ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor telah menggunakan dana untuk bantuan kebajikan tersebut demikepentingan peribadi.

Dia mendakwa ahli politik itu mengeluarkan wang tunai daripada dana Yawas tetapi tidak pernah mengagihkannya kepada penerima yang layak.