Terdesak dan malas nak pergi kerja, lelaki berlakon pura-pura kena culik
TIDAK dinafikan, apabila kita sudah lama berkhidmat di sesebuah syarikat, akan datangnya perasaan ‘malas’ dan ‘liat’ untuk ke tempat kerja tambahan pula pelbagai isu dalaman yang timbul atau bebanan tugasan yang melampau terpaksa dibuat setiap hari. Betul ke betul?
Ya! Memang benar, tiada sesuatu pekerjaan yang dibuat sempurna walaupun diri sendiri merasai bahawa sudah mencintai dan menyukai kerjaya yang kita dilakukan. Namun begitu, pada masa-masa tertentu pasti kita akan mula rasa bosan dan letih.
Itu tandanya kita tidak bahagia atau tidak senang dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang!
Selalunya tanda kita tidak bahagia dengan pekerjaan yang dilakukan akan muncul apabila sudah mula kekurangan motivasi untuk menyelesaikan sesuatu perkara di pejabat.
Kita juga akan merasakan tiada motivasi untuk mengembangkan kemampuan dan pengetahuan dalam menyempurnakan sesuatu tugasan yang diberikan.
Selain itu, jika semangat bangun pagi untuk ke tempat kerja sudah menipis dan hilang, kita akan merasakan bahawa sesuatu kerja yang diberikan adalah bebanan. Ia termasuk jika tiada hubungan baik di antara rakan sekerja dan pegawai atasan.
Maka secara tidak langsung pelbagai alasanlah dibuat untuk mengelak datang kerja atau mencari helah untuk bercuti.
Seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat beru-baru ini, seorang lelaki dilaporkan begitu terdesak untuk ponteng kerja selama satu hari sehingga dia tidak berfikir panjang dan sanggup melakukan penculikan palsu.
Ya! Tak cukup dengan itu, dia kemudian mengikat dirinya dan terbaring di tepi jalan sambil menunggu untuk diselamatkan apabila dijumpai oleh orang awam.
Pekerja kilang tayar yang dikenali sebagai Brandon Soules ilaporkan dijumpai dalam keadaan tangan yang diikat dan mulutnya yang ditutup dengan kain.
Ketika polis bertanya bagaimana dia berada di situ, dia pada awalnya mendakwa diculik oleh dua lelaki bertopeng yang memukulnya di kepala.
Dua lelaki itu kemudian mengikat ke dua-dua tangannya dan memasukkannya ke dalam kereta sebelum dihumban dekat sebuah menara air.
Agaknya apakah motif penculikan itu dibuat?
Hasil siasatan polis, lelaki itu mendakwa dia diculik kerana ayahnya ada menyimpan pelbagai wang yang tersembunyi di sekitar bandar.
Dengan kata mudahnya dia diculik untuk dijadikan tebusan! Tetapi pihak polis mendapati ada yang tidak kena dengan kisah yang diceritakan
Polis kemudian memeriksa rakaman CCTV di kawasan berhampiran dan menyoalnya sekali lagi.
Mungkin akibat kerana takut selepas banyak kali disoal siasat atau didedak, Brandon akhirnya mengaku bahawa semua apa yang dilakukan hanya rekaan semata-mata kerana dia tidak mahu bekerja pada hari tersebut.
Pegawai polis Mark Tercero memberitahu Brandon akhirnya ‘membuka mulut’ dan menceritakan tentang kisah yang sebenar pada pihak berkuasa.
Pada mulanya dia mengambil kain dan disumbat di dalam mulutnya. Selepas itu, dia menanggalkan tali pinggang yang dipakainya untuk mengikat tangannya pula.
Dia kemudian baring di atas tanah dan menunggu di tepi jalan supaya ada yang dapat melihatnya.
Akibat daripada perbuatan yang dilakukan itu, lelaki berusia 19 tahun itu akhirnya didapati bersalah kerana menipu pihak berkuasa dan telah disaman.
Lebih malang lagi, Brandon juga diberhentikan kerja oleh majikannya. – abc15.com