Terdengar bisikan halus

Terdengar bisikan halus

 

Lelaki yang ditemui terbaring berlumuran darah di tepi jalan dekat jejambat Kopisan di sini semalam, rupa-rupanya pemandu e-hailing yang dijumpai dalam keadaan tidak bermaya berhampiran kawasan perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Kapur, Ulu Geruntum kelmarin.

Lelaki berusia 32 tahun itu dijumpai pada pukul 6.30 pagi oleh anggota Balai Polis Gopeng yang melakukan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa dijumpai orang awam terbaring di tepi jalan yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Katanya, anggota yang tiba di tempat kejadian untuk memberikan bantuan mendapati mangsa merupakan lelaki sama yang dilaporkan hilang pada ahad lalu.

“Menurut adik mangsa, setelah abangnya mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, mereka telah mendaftar masuk hotel di Gopeng untuk berehat sebelum pulang ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, lelaki itu telah keluar pada awal pagi tanpa pengetahuan adiknya dan ia hanya disedari selepas dihubungi polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke HRPB semula.

Katanya, akibat kemalangan itu, lelaki terbabit patah tangan kanan dan mengalami luka di bahagian badan.

“Hasil semakan pihak hospital, lelaki itu merupakan pesakit mental dan telah mendapat rawatan perubatan sejak setahun lalu di sebuah hospital di Pulau Pinang.

“Bisikan halus yang mendesak lelaki itu membunuh diri dikatakan punca lelaki tersebut bertindak sedemikian,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan temubual awal, lelaki itu mendakwa dia dilanggar kenderaan yang tidak dikenal pasti dan pihaknya juga tidak menerima laporan polis berkaitan kemalangan tersebut.

Terdahulu, penemuan sebuah kereta berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Kapur, Ulu Geruntum Ahad lalu, menimbulkan tanda tanya apabila kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci.

Beberapa barangan peribadi termasuk kad pengenalan, pasport antarabangsa dan telefon bimbit disyaki milik pemilik kereta turut dijumpai dalam kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, misteri kereta tersebut terungkai apabila seekor anjing baka German Shepherd bernama Rocky dari Unit Anjing Pengesan (K9) Kontinjen Perak berjaya menemukan pemilik kenderaan itu.

Lelaki itu dijumpai pada pukul 2.30 petang, kelmarin dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit berhampiran kawasan perkuburan Orang Asli.