Terdapat 54 hadis bermasalah, rupanya ada kajian ilmiah tentang program TV Ustaz Don?

Terdapat 54 hadis bermasalah, rupanya ada kajian ilmiah tentang program TV Ustaz Don?

 

Tular kini di media sosial apabila timbul satu perkongsian mengenai sebuah kajian yang memperincikan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menggunakan hadis bermasalah dalam sebuah rancangan televisyen (TV).

Menerusi muat naik di aplikasi X, seorang individu memuat naik tangkap layar yang memaparkan sebuah kajian ilmiah yang dipercayai dibuat oleh ahli akademik universiti tempatan.

“Rupanya ada kajian ilmiah USIM tentang rancangan 30 Minit Ustaz Don.

“Menerusi kajian ini, terdapat 54 buah hadis bermasalah yang dibincangkan oleh Ustaz Don dalam rancangan tersebut.

“Hasil kajian ini, 20 hadis cacat sanad, 19 hadis cacat matan, 15 hadis tiada asal,” ciap individu tersebut.

Ustaz Don Daniyal

Ustaz Don Daniyal

Hasil carian, kajian ilmiah yang berjudul ‘Weak Hadith in TV Al Hijrah Program “30 Minit Ustaz Don”‘ itu dibuat dalam bahasa Arab.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian tersebut.

Malah, ada juga mendakwa penulis kajian tersebut merupakan seorang pensyarah Hadis yang sangat tegas berkenaan perkara itu (hadis).

Pada Rabu, Ustaz Don direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung kontroversi dikaitkan dengan penceramah itu.

Ia susulan Don Daniyal mendakwa Baginda Rasulullah SAW pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani’ sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah semasa bersiaran di sebuah stesen radio.

Terdahulu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) tampil memberikan pencerahan berkenaan status hadis mengenai kisah cinta pertama Rasulullah SAW yang didakwa bahawa Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ sebanyak tiga kali.