Terbaik! Kerja 11 hari, Peja dapat RM27,227.20

Terbaik! Kerja 11 hari, Peja dapat RM27,227.20

 

MESKIPUN hanya 11 hari bertugas sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu layak menerima bayaran secara pro rata dan gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227.20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan.

Katanya, jawatan itu tidak melibatkan pembayaran pencen.

Ismail Sabri berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Ogos lalu.

Lim turut mempersoalkan sama ada terdapat jumlah gratuiti dan pencen bulanan yang beliau layak menerima daripada kerajaan, selain bertanya apa tugas Timbalan Presiden Bersatu itu sebenarnya.

Ismail Sabri berkata, tugas Faizal semasa kerajaan PN memerintah adalah untuk menasihati Perdana Menteri dalam hal berkaitan komunikasi komuniti.

Selain itu, katanya, Faizal bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat.

“(Beliau juga) meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Sumber: Malaysiapost