Tentera China, AS jalankan rondaan di Laut China Selatan

Tentera China, AS jalankan rondaan di Laut China Selatan

Amerika Syarikat dan China mengumumkan penempatan tentera di Laut China Selatan pada Rabu berikutan ketegangan yang memuncak antara China dan Filipina di kawasan perairan itu, lapor AFP.

Menurut laporan, kapal perang milik kedua-dua negara itu dilihat berada di perairan tersebut pada Khamis bagi menjalankan latihan.

Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China berkata penempatan dua hari tentera laut dan udaranya yang dijadualkan berakhir hari ini sedang menjalankan ‘rondaan rutin’ di laut.

Bagaimanapun, mereka tidak menyebut di mana sebenarnya rondaan itu dijalankan atau memberikan butiran terperinci mengenai matlamat latihan.

Memetik AFP, latihan minggu ini berikutan ketegangan antara China dan Filipina di kawasan itu yang menyaksikan perlanggaran antara kapal dari kedua-dua negara dan kapal China didakwa telah meletupkan meriam air ke atas bot Filipina.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat berkata kumpulan penyerang kapal induk yang diketuai oleh USS Carl Vinson sedang menjalankan latihan dua hari dengan Tentera Laut Filipina.

“Tentera Laut AS kerap menjalankan latihan seperti ini untuk mengeratkan hubungan antara negara sekutu dan rakan kongsi,” kata satu kenyataan.

Terdahulu, Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan tidak mengendahkan tribunal antarabangsa yang memutuskan bahawa dakwaannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Ia mengerahkan bot untuk meronda di laluan air yang sibuk serta membina pulau buatan untuk mengukuhkan tuntutannya.

“Tentera dalam teater kekal berjaga-jaga pada setiap masa untuk menjaga kedaulatan negara, keselamatan, serta hak dan kepentingan maritim,” kata kenyataan PLA.

Beijing sebelum ini juga telah mengkritik dasar Filipina yang lebih agresif di kawasan itu dan memberi amaran kepada Manila untuk ‘membuat pilihan rasional’ sebagai tindak balas kepada insiden baru-baru ini.