Tengkorak pecah, bayi masih bertali pusat maut dicampak dari tingkat atas kondominium

Tengkorak pecah, bayi masih bertali pusat maut dicampak dari tingkat atas kondominium

 

Dua individu dipercayai saksi kejadian bayi lelaki yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini semalam, sudah dirakam percakapan mereka hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood yang mengesahkan perkara itu berkata sehingga kini polis masih mengumpul maklumat bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Beliau berkata proses bedah siasat ke atas bayi berkenaan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya bermula 2 petang hari ini.

Semalam, seorang bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat ditemukan maut selepas dipercayai dicampak dari aras tinggi di kondominium berkenaan sehingga mengakibatkan bahagian kepalanya pecah.