Temco: Taman Meru 2C dilanjut selama 7 hari

Temco: Taman Meru 2C dilanjut selama 7 hari

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur dekat sini hari ini.

Susulan itu, seramai 2,168 penduduk terbabit bakal mengharungi tambahan tempoh sehingga 10 November depan berbanding jadual asal yang sepatutnya berakhir pada 3 Disember ini.

“Setelah mendengar penilaian risiko daripada pihak Kementerian Kesihatan bersetuju untuk memutuskan pelanjutan kerana ada baki keputusan ujian saringan belum diperoleh,” katanya.

Ismail Sabri menambah, sehingga semalam sebanyak 1,793 ujian dilakukan dengan jumlah kumulatif disahkan positif Covid-19 ialah 66 kes sejak Temco bermula pada 20 November.

Bagaimanapun beberapa kawasan lain di seluruh negara yang turut dikenakan Temco dan dijadualkan berakhir pada 3 Disember ujar beliau, akan tamat mengikut tempoh ditetapkan.

Ini termasuk Penjara Seberang Perai dan kuarters penjara itu di Pulau Pinang yang mula dikenakan Temco sejak 22 Oktober lalu akan tamat secara rasmi pada tengah malam ini.

Sementara Pusat Tahanan Sementara Sandakan, Penjara Sandakan dan kuarters Taman Wira di Sandakan, Sabah yang bermula Temco pada 6 November akan berakhir esok.

Begitu juga pelaksanaan Temco di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon di Kota Belud, Sabah yang dikenakan pada 20 November turut mengikut jadual tamat pada 3 Disember.

“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan bersetuju ia berakhir mengikut jadual kerana tiada trend baharu,” jelas Ismail Sabri.

Beliau turut memaklumkan, 290 individu ditahan pihak polis di seluruh negara kerana ingkar arahan prosedur operasi standard Covid-19 dengan 285 kes dikompaun dan empat direman.

Baki seorang individu dibebaskan dengan jaminan dan seperti biasa kata beliau, sebahagian besar kes itu melibatkan tidak memakai pelitup muka serta gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/temco-taman-meru-2c-dilanjut-lagi-tempat-lain-tamat-ikut-jadual/